Jauhi pantai ketika fenomena air pasang besar

Anggota APM memantau keadaan semasa susulan fenomena air pasang besar di Pantai Miami, Seberang Takir. - Foto APM
Anggota APM memantau keadaan semasa susulan fenomena air pasang besar di Pantai Miami, Seberang Takir. - Foto APM
A
A
A

KUALA NERUS – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu menasihati orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai semata-mata untuk menyaksikan fenomena air pasang besar kerana ia bukanlah satu ‘pesta’.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku sehingga 14 Disember nanti dijangka boleh menyebabkan ketinggian ombak mencapai antara 2.7 hingga 2.9 meter.

Sehubungan itu menurutnya, aktiviti beriadah di pantai wajar ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengelak berlaku sebarang kejadian buruk susulan ombak besar.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya menjauhi pantai dan kawasan ombak tinggi walaupun sekadar datang mahu melihat saja kerana bimbang kemungkinan berlakunya kejadian buruk,” katanya kepada selepas mengadakan pemantauan air pasang besar di Pantai Miami, Seberang Takir, di sini pada malam Jumaat.

Sementara itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai terutama penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran muara sungai agar bersiap sedia berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.

Rosman berkata, fenomena air pasang besar yang diramal berlaku bermula jam 10 malam hingga 1 pagi boleh menyebabkan berlakunya banjir sekiranya bertembung dengan keadaan hujan lebat.

“Kita menggalakkan supaya penduduk sentiasa waspada, peka dengan keadaan semasa dan segera berpindah lebih awal kerana operasi pemindahan pada waktu malam menyukarkan pihak berkuasa.

“Namun biasanya kalau kita minta penduduk pindah mereka akan akur dan berpindah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hujan lebat sejak Khamis menyebabkan Terengganu mula dilanda banjir dengan seramai 339 penduduk iaitu melibatkan 91 keluarga sudah dipindahkan setakat jam 8 pagi Sabtu.

Terdapat tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut bagi menempatkan semua mangsa yang terjejas banjir.