Kekuatan negara dinilai melalui kemampuan hasil sumber makanan

Tun Juhar Mahiruddin - Foto Astro Awani
Tun Juhar Mahiruddin - Foto Astro Awani
A
A
A

KOTA KINABALU - Kekuatan sesebuah negara boleh dinilai berdasarkan kemampuan untuk menghasilkan sumber makanan mencukupi, selamat dan berkhasiat, kata Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, hal itu memberi kesedaran bahawa pentingnya pertanian untuk menjamin sekuriti makanan dan penjana ekonomi rakyat serta negara.

Namun, katanya pengeluaran makanan menjadi lebih mencabar akibat cuaca tidak menentu, kekangan sumber, kesan pandemik Covid-19 serta konflik antarabangsa.

"Oleh itu, keupayaan pengeluaran makanan dan akses kepada makanan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen UMS ke-24 di Dewan Canselor UMS di sini pada Sabtu.

Juhar berkata, sektor pertanian iaitu tanaman, penternakan dan perikanan merupakan sektor utama di negeri Sabah malah mampu menyumbang sebanyak 16.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2020.

Bagaimanapun, ia belum dapat memenuhi permintaan domestik bagi komoditi makanan utama seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan daging.

"Oleh itu, negara kita terlalu bergantung kepada import makanan sehingga bil import makanan negara pada 2020 melambung kepada RM55.4 bilion," katanya.

Juhar berkata, bagi memastikan bekalan makanan terjamin, Sabah telah mewujudkan Rangka Tindakan Pertanian Sabah (2021-2030) selari dengan Dasar Pertanian Negeri Sabah ketiga (2017-2026).

Beliau berkata, pelaksanaan Rangka Tindakan Pertanian Sabah adalah berdasarkan empat prinsip utama iaitu pengeluaran, inovasi, kelestarian dan pembangunan modal insan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha itu selari dengan UMS yang giat memajukan pertanian berteknologi tinggi persis dan pintar menerusi Fakulti Pertanian Lestari (FPL) bertekad melahirkan graduan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi.

Menurut beliau, FPL sedang membangunkan Program Sarjana Muda Teknologi Pertanian Persis Pintar yang akan ditawarkan mulai tahun hadapan.

"Inisiatif daripada UMS ini dapat memberi sumbangan besar dalam bidang pertanian dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan makanan dan mewujudkan jaminan peluang pekerjaan kepada graduan," katanya. - Bernama