Boleh guna pembesar suara untuk azan, iqamah - Mufti

Wan Salim Wan Mohd Noor (Tangkap layar video yang tular di media sosial ketika sesi dialog antara JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk.)
Wan Salim Wan Mohd Noor (Tangkap layar video yang tular di media sosial ketika sesi dialog antara JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk.)
A
A
A

GEORGETOWN - Penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid di Pulau Pinang hanya dibenarkan untuk azan dan iqamah sahaja.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bertarikh 1 hingga 2 Julai 2015 dan disahkan pada 23 hingga 24 Ogos 2015.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bagaimanapun keputusan itu tidak diwartakan sebaliknya diserahkan kepada budi bicara jawatankuasa kariah untuk mempertimbangkan sama ada keputusan itu sesuai dilaksanakan di masjid, surau masing-masing atau sebaliknya.

"Masyarakat Pulau Pinang secara khusus sama ada yang beragama Islam atau penganut agama lain diingatkan kembali kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang melarang penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang kecuali untuk azan dan iqamah sahaja.

"Bagaimanapun keputusan ini tidak diwartakan, sebaliknya diserahkan kepada budi bicara jawatankuasa qaryah untuk mempertimbangkan kesesuaian pelaksanaan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah klip video yang memaparkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.

Dalam klip video berkenaan, penduduk beragama Islam tidak berpuas hati apabila pihak JMB kondominium tersebut melarang penggunaan pembesar suara di surau yang beroperasi dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, difahamkan isu berkenaan telah diselesaikan setelah pegawai agama daerah Timur Laut berbincang dengan pihak JMB kondominium bersama pihak pengurusan surau terbabit.

"Sebagai Mufti Pulau Pinang, saya ingin menasihati umat Islam Pulau Pinang termasuk pimpinan badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan masyarakat dan sebagainya supaya segera merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam jika berlaku sebarang ketegangan dan rasa tidak puas hati yang berpunca daripada tindakan mana-mana pihak berkaitan agama Islam.

"Ini amat penting bagi mencari penyelesaian secara berhemah terhadap apa jua isu yang berbangkit berkaitan agama Islam di Pulau Pinang. Semoga dengan itu segala salah faham dapat diatasi di samping dapat mengekalkan suasana yang harmoni dalam hubungan pelbagai kaum dan penganut agama di negeri ini," katanya.

Difahamkan, kondominium tersebut mempunyai tiga blok dengan setiap satu berketinggian 48 tingkat dan majoriti penduduk di situ adalah beragama Islam.

Surau tersebut dikatakan terletak kira-kira 200 meter dari blok pertama.

Difahamkan juga, terdapat empat buah pembesar suara di surau kondominium berkenaan iaitu dua bersaiz kecil terletak di dalam surau manakala dua lagi yang bersaiz besar terletak di luar surau.

Pihak JMB kondominium berkenaan dipercayai melarang pihak surau berkenaan menggunakan dua pembesar suara bersaiz besar di luar surau untuk kegunaan azan sebaliknya hanya menggunakan pembesar suara bersaiz kecil di dalam surau sahaja.