Ukur kekuatan Kerajaan Perpaduan di selatan

Pilihan raya pada 9 September itu sudah pasti bakal menjadi kayu ukur kepada kekuatan kerjasama PH dan BN di selatan tanah air. - Gambar hiasan
Pilihan raya pada 9 September itu sudah pasti bakal menjadi kayu ukur kepada kekuatan kerjasama PH dan BN di selatan tanah air. - Gambar hiasan
A
A
A

SELEPAS pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri berakhir, kini tumpuan politik negara terarah kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pula.

Pilihan raya pada 9 September itu sudah pasti bakal menjadi kayu ukur kepada kekuatan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di selatan tanah air.

Sedia maklum, ketika PRN lalu, Perikatan Nasional (PN) menembusi banyak kawasan kubu kuat PH atau BN di Selangor dan Negeri Sembilan.

Misalnya di Negeri Sembilan, PN berjaya menang di lima kerusi DUN yang sebelum ini gagal ditembusi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Pada PRK nanti, PH menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon untuk Parlimen Pulai, manakala Nazri Abdul Rahman sebagai calon untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

Suhaizan dalam satu kenyataan berkata, beliau berazam mahu menggunakan segala pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di Pulai.

Sementara PN pula dijangka akan mengumumkan calon pada minggu ini dan pengumuman nama calon akan dibuat Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengikut rekod PRU15, PN hanya memenangi dua kerusi Parlimen di Johor iaitu di Pagoh dan Mersing.

Artikel Berkaitan:

PH bagaimanapun yakin mampu mengekalkan kemenangan berdasarkan kenyataan Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan bahawa ‘gelombang hijau’ PN tidak akan berlaku di kedua-dua PRK ini kerana rakyat Johor lebih mengutamakan kesederhanaan.

Bagaimanapun, sebenarnya peluang kepada PH-BN dan PH di atas kertas ketika ini adalah sama rata, dan pengundi yang akan menentukan menerusi pembuangan undi nanti.

Berdasarkan daftar pemilih, Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih, sementara DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 orang pemilih.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada PH-BN, mungkin ia boleh diibaratkan sebagai ‘tonik’ yang memberi kelegaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.