MPKS kesan aktiviti 'gondol' tanah di Bukit Kerayong

Sze Han
Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesan terdapat aktiviti kerja tanah dan meratakan bukit di kawasan Bukit Kerayong.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, notis peringatan di bawah Seksyen 19, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) telah dikeluarkan kepada pemilik tanah supaya menghentikan aktiviti dan mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang (KM).

"Tindakan perundangan akan dibuat jika pemilik tanah masih ingkar dengan notis tersebut," katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Dr Daroyah Alwi bertanya tentang status terkini projek menggondolkan tiga bukit iaitu Bukit Kerayong, Bukit Kapar dan Bukit Cherakah.

Sze Han memberitahu, bagi Bukit Cherakah pula, hasil semakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Pejabat Tanah Daerah Petaling, lokasi penggondolan di Bukit Cherakah yang dimaksudkan adalah terletak di Seksyen U10 Shah Alam.

Jelas beliau, tapak itu telah diberi hak milik dan telah memperoleh kelulusan KM Pelan Susunatur bertarikh 26 September 2017.

Menjawab pertanyaan tentang usaha kerajaan Selangor bagi mengelakkan banjir lumpur terus berulang akibat aktiviti itu, Sze Han memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau keadaan banjir lumpur dan mensyaratkan kepada pemaju atau perunding untuk memohon permit kerja tanah dan menjalankan kawalan hakisan bagi mengelakkan berlakunya banjir.

Ujar beliau, pembinaan longkang sementara dan kolam perangkap kelodak adalah perlu bagi mengawal aliran air permukaan.

Sebarang pemajuan yang hendak dijalankan oleh pemilik tanah perlu mendapatkan kelulusan KM terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik tanah juga perlu mendapatkan kelulusan pelan kerja tanah daripada Jabatan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Klang sebelum memulakan aktiviti kerja tanah dan mereka (pemilik tanah) juga perlu mendapatkan dan mematuhi ulasan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum melakukan sebarang pemajuan," jelas Sze Han.

Tambah beliau, sekiranya pemilik tanah menjalankan aktiviti kerja tanah tanpa mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis terlebih dahulu, pihak Majlis akan mengeluarkan Notis peringatan di bawah Seksyen 19, Akta Perancang Bandar Dan Desa 1976(Akta 172).

"Notis tersebut memaklumkan kepada pemilik tanah untuk memberhentikan aktiviti dan operasi serta memulihkan tanah kepada keadaan asal bagi pemajuan yang sedang dijalankan tanpa KM.

"Pemilik tanah perlu mematuhi notis tersebut dalam tempoh 30 hari dan sekiranya pemilik tanah gagal mematuhi notis tersebut, tindakan perundangan akan diambil," katanya.