Kes Ahmad Zahid tidak harus dijadikan isu lantikan TPM

Anwar (tengah) bersama-sama kedua-dua timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah (kanan) pada sidang media di Perdana Putra hari ini. -Foto: Bernama
Anwar (tengah) bersama-sama kedua-dua timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah (kanan) pada sidang media di Perdana Putra hari ini. -Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kedudukan kes melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya dijadikan isu pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Ahmad Zahid belum dibuktikan bersalah oleh mana-mana mahkamah.

"Beliau didakwa dengan beberapa kesalahan tetapi belum lagi dibuktikan dan ia perlu dihormati," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kritikan terhadap pimpinannya susulan melantik Ahmad Zahid sebagai orang nombor dua di dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Jelas Anwar, Ahmad Zahid dilantik ke jawatan itu atas faktor beliau merupakan Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang turut berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Itu hak mereka (untuk pertikai), tetapi siapa dan atas alasan apa," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pertama pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, pihak yang mengkritik lantikan itu seharusnya bersih dan bebas daripada sebarang salah laku.

Artikel Berkaitan:

"Saya musykil, bertahun-tahun orang jerit mengenai soal rasuah harus bersih tetapi dia ambil projek ratus-ratus juta.

"Sebab itu semasa kempen saya sanggup isytihar (harta) dan saya mahu orang lain termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) melakukan perkara sama mengisytiharkan harta di Malaysia, Australia dan beberapa negara lain, tetapi tiada jawapan," jelasnya.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung pada 16 Januari tahun depan.