Penduduk desak atasi segera isu pelupusan sampah haram

Gambar kecil: Harnarain. Penduduk PUJ 2 Taman Puncak Jalil menggesa kerajaan Selangor menangani segera isu tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan. (Gambar hiasan)
Gambar kecil: Harnarain. Penduduk PUJ 2 Taman Puncak Jalil menggesa kerajaan Selangor menangani segera isu tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan. (Gambar hiasan)
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk PUJ 2 Taman Puncak Jalil menggesa kerajaan Selangor menangani segera isu tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan yang didakwa mengundang bau busuk dan merimaskan penduduk sekitar.

Pengerusinya, Harnarain Singh Gill berkata, penduduk telah mengambil beberapa tindakan termasuk membawa perkara itu kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han dan menghantar surat aduan rasmi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menangani perkara itu.

Menurut beliau, keadaan itu tidak boleh dipandang remeh pihak berkuasa kerana ia dikhuatiri mengakibatkan masalah kesihatan kronik dalam kalangan penduduk taman perumahan itu.

"Walaupun tapak pelupusan sampah haram ini terletak di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Seri Kembangan, (namun) pencemaran udara dan bau busuk tersebar jauh sehingga ke kawasan DUN Kinrara.

"Bau busuk cecair larut resapan (leachate) dari tapak pelupusan sampah haram terlalu busuk sehingga ada penduduk rasa kurang selesa berada dalam rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Harnarain, terdapat juga penduduk terpaksa berpindah sementara kerana tidak tahan akibat bau tersebut.

"Persatuan kami menerima aduan setiap malam daripada penduduk yang mengadu tidak selesa dan sukar tidur sepanjang malam.

"Kami khuatir jika masalah bau busuk ini berterusan, ia akan mula menjejaskan kesihatan anak-anak, ibu bapa terutama mereka yang berusia dan diri kami sendiri," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, penduduk kesal dan tidak boleh menerima kenyataan Sze Han yang mendakwa terdapat penglibatan gangsterismes di tapak pelupusan sampah haram tersebut termasuk menghalang tugas penguat kuasa daripada mengambil sebarang tindakan.

"Tidak bolehkah satu tindakan bersepadu diambil oleh semua pihak termasuk pihak pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis," jelas beliau.