Bekas tapak Pasar Pagi Seri Kembangan terbiar, dipenuhi sampah
SERI KEMBANGAN - Bekas tapak pasar pagi Seri Kembangan yang telah dikosongkan sejak tiga minggu lalu terbiar dan dipenuhi longgokan sampah yang belum dibersihkan sehingga kini.
Situasi tersebut menimbulkan rasa kurang senang penduduk dan juga peniaga berhampiran yang telah memanjangkan aduan tersebut kepada Ketua Biro Aduan MCA Seri Kembangan, Wong Jung Lik untuk campur tangan.
Jung Lik berkata, aduan telah dibuat oleh pihaknya dan penduduk sejak seminggu lalu kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) namun tiada kerja pembersihan dilakukan sehingga kini.
"Sejak peniaga dipindahkan ke penempatan sementara, tapak lama berkenaan dibiarkan terbiar tanpa sebarang kerja pembersihan dilakukan.
"Difahamkan tapak tersebut mahu dibangunkan pasar pagi baharu namun tiada kesahihan berkenaan perkara itu susulan tiada sebarang papan tanda permakluman dipasang sehingga kini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, longgokan sampah yang tidak dibersihkan itu telah menyebabkan kacau ganggu termasuk bau busuk dan longkang tersumbat.
"Penduduk bimbang keadaan itu akan menyebabkan masalah kesihatan dan tempat pembiakan bawaan nyamuk aedes, tikus dan lalat.
"Saya harap kawasan ini dibersihkan kerana tidak mahu orang luar ambil kesempatan jadikan lokasi tersebut sebagai tapak pembuangan sampah haram," katanya.