Barisan Kabinet perlu ada standard tinggi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Satu standard yang tinggi perlu diterjemahkan dalam pemilihan barisan ahli Jemaah Menteri sekali gus menolak ahli Parlimen atau individu terpalit kes mahkamah untuk membarisi Kabinet Malaysia.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut penting bagi mengelakkan timbulnya isu selepas pembentukan kerajaan selain meletakkan satu piawaian tinggi berdasarkan integriti sebagai menteri.

“Kalau dah memang disabitkan (kes mahkamah), maka tidak patut berada dalam Kabinet walaupun belum ditentukan bersalah atau tidak, (peringkat) rayuan atau sebagainya.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak selain rakyat sangat tekankan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah.

“Kita boleh katakan kes masih berjalan di mahkamah dan sebagainya, tetapi bagi saya seelok-eloknya kena ‘whiter than white’ bila memegang amanah,” katanya dalam program SinarLive bertajuk ‘Kabinet bayangan Anwar Ibrahim’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.

Turut diundang menjadi panelis adalah penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff manakala Hazwan Mokhtar sebagai moderator.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, setiap parti politik yang ada di negara ini mempunyai ahli Parlimen yang mampu dan layak untuk memegang jawatan atau portfolio menteri termasuk menteri kanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Justeru katanya, pemilihan ahli kabinet kelak perlu meneliti semua faktor memandangkan kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengenai cadangan Perdana Menteri untuk mengurangkan gaji jemaah menteri, Nik Nazmi beranggapan, tindakan tersebut merupakan langkah baik bagi ‘memahami’ masalah rakyat.

“Dari segi impak secara langsung, seperti penjimatan kepada perbelanjaan negara, saya tidak rasa ia tidak memberi impak kerana belanjawan negara besar.

“Namun ia sebagai satu simbolik ketika negara sedang bergelut dengan krisis kenaikan kos sara hidup, gaji yang rendah, ini menggambarkan kerajaan serius untuk menyelesaikan masalah.

“Kalau nak kata penjimatan itu, mungkin tidak, tetapi sebagai simbolik itu penting supaya rakyat merasakan isu mereka dekat di hati para pemimpin,” ujarnya.