Wan Saiful tarik balik rayuan pemecatan Bersatu

 Datuk Wan Saiful Wan Jan
Datuk Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menarik balik rayuan yang dikemukakan sebelum ini berhubung hukuman pemecatan yang dikenakan terhadapnya.

Wan Saiful berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut. 

“Untuk menutup topik ini, saya mahu sebutkan satu perkara. Antara tuduhan kesalahan saya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan lanjutannya ialah Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).

“Perkara yang sama dilakukan oleh Muhyiddin hari ini. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN.

“Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin. 

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada Jumaat, Hamzah dilaporkan dipecat daripada keahlian Bersatu berkuat kuasa serta-merta menerusi Notis Pemecatan Keahlian bertarikh 13 Februari 2026.

Artikel Berkaitan:

Wan Saiful turut berkongsikan salinan surat rasmi yang diserahkan kepada lembaga rayuan parti yang bertarikh pada Ahad.

Berdasarkan surat tersebut, beliau mendakwa bahawa agenda Bersatu kini telah lari daripada perjuangan asalnya iaitu demi kesejahteraan rakyat.

“Saya berpandangan bahawa Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Muhyiddin selaku presiden merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini menyebabkan Bersatu lari jauh daripada agenda rakyat kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi.

“Maka dengan itu saya menarik balik rayuan berkuat kuasa serta-merta,” ujarnya. 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!