PN main peranan sebagai pembangkang: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin.

Namun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

"Atas semangat untuk menyuburkan demokrasi serta melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen, PN berpendirian tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Anwar yang juga Pengerusi PH dilapor mengalu-alukan penyertaan PN dan parti lain untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

Terbaharu, Anwar mengesahkan telah mendapat sokongan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setelah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor melahirkan keyakinan parti itu boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan, termasuk usaha mengembalikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam pada itu Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri susulan tawaran menyertai kerajaan perpaduan kepada PN.

Artikel Berkaitan: