Belanjawan defisit Selangor bagi persediaan urus bencana

Infografik mengenai Belanjawan Selangor 2023 yang dijangka mengalami defisit sebanyak RM450,000.
Infografik mengenai Belanjawan Selangor 2023 yang dijangka mengalami defisit sebanyak RM450,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2023 defisit pada tahun depan berjumlah RM450,000.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belanjawan itu mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2 bilion berbanding anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.45 bilion.

Jelas beliau, defisit itu adalah lebih tinggi berbanding tahun ini bagi persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim serta penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mapan negeri Selangor.

"Walaupun melaksanakan Belanjawan 2023 defisit sejak lima belanjawan lalu, kerajaan negeri sentiasa berjaya mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pembentangan Bajet 2023 semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri menjangkakan hasil premium tanah antara penyumbang utama kepada kerajaan Selangor pada tahun depan.

"Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun depan adalah premium tanah iaitu sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan," ujar beliau.

Amirudin sebelum ini membentangkan Belanjawan Selangor 2023 bertema '#KitaSelangor: Melonjak kemajuan, mengerat perpaduan, menjayakan harapan' memperuntukkan sebanyak RM2.45 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak RM1.25 bilion atau 51 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala sebanyak RM1.2 bilion atau 49 peratus lagi diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.