[VIDEO] Isu ugut Azam Baki: Tiada laporan terhadap Rafizi

Hamzah - Foto Bernama
Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang dikatakan mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kenyataan Rafizi tersebut merupakan suatu tindakan melulu yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Setakat semalam (Khamis) tidak ada dimaklumkan kepada saya mengenai laporan polis tersebut," katanya ketika sidang akhbar sempena majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Imigresen di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sesiapa sahaja tidak akan terlepas daripada tindakan sekiranya melanggar undang-undang.

"Sama ada pegawai tertinggi, pegawai rendah atau rakyat mahupun pemimpin mana-mana politik kalau melakukan kesalahan kita akan ambil tindakan," katanya.

Terdahulu, majlis perbarisan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perbarisan itu melibatkan 193 orang pegawai yang terdiri daripada 32 orang Kadet Penguasa Imigresen Gred KP41 dan 161 orang Gred KP29.

Rafizi dalam pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru pada Rabu mengeluarkan ancaman kepada Azam jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd yang didakwanya diserbu SPRM.

"Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-ALLAH.

"Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kesiapsiagaan pasukan keselamatan pada hari pengundian, Hamzah berkata. pihaknya berharap tiada insiden luar jangka berlaku.

"Kita berdoa supaya ia tidak berlaku kerana akan menyulitkan rakyat untuk keluar mengundi," katanya.