Azam Baki akan disoal siasat Parlimen jika PH menang

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan dibawa untuk disoal siasat dalam sidang Parlimen sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menegaskan bahawa SPRM juga akan turut diletakkan di bawah kuasa pemantauan Parlimen jika gabungan parti itu berjaya menerajui pentadbiran negara.

“Bukan kuasa saya (untuk memecat beliau). Antara perkara yang kita nak buat jika PH menang PRU15, kita nak SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

“Sekiranya ada pelantikan baharu atau jika Azam terus dalam jawatannya, beliau perlu mendapat pelepasan di Parlimen.

“Maksudnya beliau akan disoal siasat dan perlu adakan sesi pendengaran di Parlimen sama seperti yang berlaku di negara-negara lain,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program terbaharu Sinar Harian, Last Lap bertajuk Tiada Majoriti: Bersediakah Kongsi Kuasa”, yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron.

Sebelum ini, calon PH di Parlimen Pandan itu dilaporkan memberi amaran kepada Azam bahawa gabungan parti itu akan ‘mencarinya’ berhubung isu pemilikan saham sebelum ini jika mereka memenangi PRU15 kali ini.

Ia susulan dakwaan serbuan terhadap syarikatnya, syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd berkenaan pemberitahuan pemeriksaan dokumen berkaitan cukai.

Sementara itu ujarnya, tindakan yang dilakukan oleh SPRM kebelakangan ini mengundang kembali kemarahan rakyat terutamanya terhadap Azam yang pernah terpalit kontroversi.

Artikel Berkaitan:

“Kemarahan rakyat banyak tertumpu kepada Azam kerana beliau sendiri ada kontroversi sebelum ini, soal saham dan sebagainya.

“Itu maksud saya, kalau PH menang, mesti orang akan timbulkan isu ini dan desak untuk mengetahui keputusan sebenar berkenaan kes tersebut.

“Rakyat menganggap kes tempoh hari ditutup. Beliau tidak disiasat dengan betul, tidak terbuka, jadi sudah tentu kalau ada pertukaran kerajaan, pandangan rakyat yang mempersoalkan kewibawaan sesetengah tokoh penting dalam negara tidak dapat dielakkan,” jelasnya.