PM umum 8 tawaran untuk rakyat

Ismail Sabri (tengah) memberi lapan tawaran seandainya BN memenangi PRU15.
Ismail Sabri (tengah) memberi lapan tawaran seandainya BN memenangi PRU15.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak lapan tawaran yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika Barisan Nasional (BN) dipilih mentadbir kerajaan.

Beliau berkata, antaranya memastikan kestabilan negara dari segi politik dan ekonomi termasuk menyelesaikan isu kos sara hidup serta kenaikan harga barang.

"Walaupun kita tahu bahawa tahun depan, ketidaktentuan ekonomi agak tinggi melibatkan isu geopolitik di Eropah, Ukraine dan Rusia, dan ini cabaran yang perlu dihadapi tetapi kita akan memastikan negara boleh melepasi segala rintangan yang akan dihadapi tahun depan.

"Kedua, isu besar yang menjadi perbualan rakyat hari ini adalah kos sara hidup. Ini akan diberikan fokus selepas kita memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Walaupun kita telah mengadakan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya, tetapi kita akan menambah baik setiap kelemahan," katanya pada bual bicara khas bersama Perdana Menteri.

Tambah Ismail Sabri, pihaknya juga memberi tumpuan kepada kepentingan golongan muda, belia dan wanita.

"Paling penting daripada segi ekonomi mereka dan peluang mendapatkan pekerjaan. Program Jamin Kerja kita berjaya.

"Sasaran 600,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini dan untuk program mengurangkan pengangguran akan diteruskan walaupun kita dah capai 3.6 peratus," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, daripada segi kerajaan ini pula, beliau akan cuba mengecilkan kabinet selepas ramai mempersoalkan ia terlalu besar.

"Tetapi saya memerlukan Kabinet yang kuat, merangkumi kepelbagaian kepakaran, dan saya jadikannya sebagai panduan untuk membentuk Kabinet nanti. Bukan sahaja terdiri daripada ahli politik tetapi daripada segi teknokrat akan turut dimasukkan," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, agensi dan jabatan kerajaan akan turut diperkasakan bagi menangani kerenah birokrasi.

"Banyak rungutan tentang kerenah birokrasi yang melampau dalam jabatan kerajaan. Kadang-kala ini menghindarkan kemasukan pelabur asing ke negara kita.

"Jika dibandingkan dengan negara lain, setiap kelulusan itu terpaksa menunggu lama (di negara kita). Kerenah birokrasi ini perlu diberikan fokus.

"Dan dasar luar kita juga mesti diubah. Ini kerana kehadiran Malaysia di luar negara dengan dasar luarnya amat dirasai suatu ketika dahulu. Tetapi mungkin akhir-akhir ini agak kurang, mungkin disebabkan masalah Covid-19, kita kurang menyerlah tetapi kita mesti kembalikan keagungan lalu daripada segi peranan dengan dasar luar kita.

"Kita perlu dilihat lebih terlibat dan kehadiran dalam memperjuangkan isu besar (perlu) yang dirasai oleh dunia. Perkara ini juga akan diberi perhatian," katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bera itu berkata, perancangan pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar akan diteruskan.

"Dalam pembasmian kemiskinan. 'Its not cliche' (ia bukanlah klise), memang perkara ini perlu diperjuangkan. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kita akan hapuskan miskin tegar pada 2025, perkara-perkara (berkaitan) kemiskinan ini mesti diteruskan dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar juga mesti diteruskan. Begitu juga dengan merapatkan jurang antara wilayah.

"Sebab itulah saya akan fokus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak daripada segi pembangunan infrastruktur, meningkatkan ekonomi dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.

"Seperti yang kita janjikan, layanan terhadap Sabah dan Sarawak adalah sama sahaja seperti di Semenanjung. Malah daripada segi tumpuan kepada pembangunan infra dan sebagainya akan kita utamakan dan memberikan kelebihan kepada Sabah dan Sarawak," ujar beliau.

Jelas Ismail Sabri, apa yang beliau akan lakukan itu adalah berdasarkan manifesto BN, dengan slogan Kestabilan dan Kemakmuran.

'Beri peluang kepada saya untuk meneruskan pentadbiran'

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta pengundi memberi peluang kepada beliau untuk memerintah negara selama lima tahun lagi supaya dapat menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan rakyat.

Ismail Sabri menjelaskan, pelbagai isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan sepanjang beliau mentadbir negara termasuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan selain meluluskan Undang-Undang Anti Lompat Parti.

“Ketika mengambil keadaan negara yang tidak stabil ketika itu (semasa baru menjadi Perdana Menteri), saya juga berjaya menstabilkan politik negara.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita yang kerajaan bersama pembangkang boleh duduk semeja menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) supaya diwujudkan gencatan senjata dalam negara untuk menjadikan politik stabil ketika itu.

“Malah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan diluluskan dengan sokongan semua pihak secara sebulat suara,” katanya pada bual bicara khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata, Undang-undang Anti Lompat Parti dapat dilaksanakan secara tenang dan tidak mendapat bantahan daripada sesiapa ketika zaman pentadbirannya.

“Akhirnya politik negara dapat distabilkan. Berbanding dengan lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dapat membuktikan kejayaannya sebagai Perdana Menteri.

"Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 bulan digulingkan oleh parti gabungan mereka sendiri. Selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi selepas 18 bulan juga tumbang,” katanya.

Beliau berkata, meskipun beliau mentadbir negara selama 15 bulan namun kerajaan yang ditadbirnya tidak dibubarkan oleh sesiapa.

“Jadi saya nak beritahu kalau sepanjang tempoh itu saya boleh menyelesaikan pelbagai isu yang dibangkitkan, cubalah beri saya lima tahun. Banyak perkara yang boleh saya lakukan,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu pihaknya lebih menumpukan kepada ‘produk’ dan apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat.

“Kita tidak memfokuskan isu-isu peribadi ini, ‘pembunuhan karakter’ itu tidak menjadi perkara untuk kita jadikan sebagai salah satu bahan untuk berkempen.

“Dari segi manifesto, kita jauh lebih baik dari manifesto parti lain sebab manifesto kita sebahagian besar adalah daripada bajet yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas,” katanya.

Jelas beliau, manifesto Barisan Nasional (BN) bukan semata-mata yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi berpijak kepada janji nyata kerana semua yang telah dirancang mempunyai kewangan.

“Strategi kita lebih kepada memberikan tawaran kepada rakyat, menjual produk kita tetapi tidaklah memburukkan produk orang lain.

“Saya harap rakyat boleh menerima cara kita daripada bentuk serangan peribadi dan sebagainya,” ujarnya.