Jurusolek seludup vape kanabis guna syarikat kurier

Sazali (tengah) menunjukkan vape yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam, Kampung Jijan. (Gambar kecil: Vape yang dirampas)
Sazali (tengah) menunjukkan vape yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam, Kampung Jijan. (Gambar kecil: Vape yang dirampas)
A
A
A

NILAI - Seorang jurusolek ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) selepas dipercayai cuba menyeludup masuk rokok elektronik (vape) dan cecair dadah jenis kanabis melalui sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Sazali Mohamad berkata, suspek wanita berusia 25 tahun itu ditahan pada 10 November lalu lebih kurang jam 1.40 petang bersama bungkusan barangan terbabit yang diikrarkan sebagai kit peralatan mekap.

"Di dalam bungkusan tersebut didapati mengandungi 50 unit vape, 50 cecair vape dan dadah jenis kanabis seberat 870 gram dengan nilai anggaran rampasan RM15,000.

"Siasatan awal mendapati, suspek bersetuju untuk menuntut bungkusan kurier tersebut dengan bayaran sejumlah RM10,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam, Kampung Jijan pada Isnin.

Tambahnya, sebuah kereta jenis Perodua Myvi juga telah dirampas dalam serbuan terbabit dan suspek dipercayai sudah beberapa kali membawa masuk rokok elektronik terbabit ke negara ini dengan menggunakan perkhidmatan kurier milik syarikat tempatan untuk pasaran di Malaysia.

"Vape dan cecair berkenaan masing-masing dijual secara dalam talian dan secara fizikal pada harga RM300 dan RM150.

"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, suspek menggunakan perkhidmatan kurier ke alamat yang tidak wujud sebelum menggunakan khidmat penghantaran barang yang dibuat melalui dalam talian untuk menerima bungkusan itu," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Sazali berkata, pihaknya mematahkan dua cubaan menyeludup keluar dadah jenis methaphetamine melalui kargo udara dan syarikat penghantaran ekspres.

Artikel Berkaitan:

"Kes pertama pada 23 Oktober lalu apabila kami menyita sebuah kotak di pintu pelepasan eksport kargo udara KLIA. Hasil pemeriksaan menemui sembilan paket teh herba yang mengandungi dadah disyaki methaphetamine.

"Dadah yang disorokkan di dalam beg galas itu dianggarkan seberat sembilan kilogram (kg) bernilai RM324,000. Dagangan diikrarkan sebagai papan litar pencetak yang akan dieksport ke sebuah negara di kepulauan Pasifik," jelasnya.

Bagi kes kedua, beliau berkata, pihaknya menemui 400 mangkuk besi yang mengandungi paket lutsinar berisi 6.30 kg methaphetamine dianggarkan bernilai RM230,000 di dalam sebuah kotak di hub penghantaran kurier ekspres, KLIA.

"Pemeriksaan pada 8 November itu mendapati dagangan diikrarkan sebagai besi tahan karat yang akan dieksport ke sebuah negara Asia. Ia mempunyai dua bahagian yang dipateri dan dadah disorokkan di antaranya," katanya.