Cubaan seludup dadah lebih RM1 juta guna khidmat kurier, kargo

Pun Sian (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dikesan dan digagalkan aktiviti penyeludupan oleh JKDM Zon Tengah yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam tiga kes berasingan baru-baru ini.
Pun Sian (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dikesan dan digagalkan aktiviti penyeludupan oleh JKDM Zon Tengah yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dalam tiga kes berasingan baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk dan keluar dadah jenis methamphetamine, ketamine dan heroin seberat 14.6 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, bertindak atas maklumat pada 14 Mei lalu jam 1 pagi, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine melalui kargo udara.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas parcel beralamat di Johor menemukan sebanyak 13 bungkusan kecil yang dibalut plastik wrapping mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat kasar 1.07 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM35,178.

"Siasatan awal mendapati parcel berkenaan akan dieksport ke Australia dengan maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek terlibat dan modus operandi (MO) sindiket ini adalah dengan cara menyembunyikan bahan dadah berbahaya di dalam gam silikon, kemudiannya dimasukkan ke dalam kotak kasut bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya pada Khamis.

Sementara itu dalam kes berasingan, Pun Sian berkata, pihaknya turut berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis heroin pada 28 April lalu jam 12.30 tengah hari melalui pemeriksaan ke atas parcel di premis Pos Malaysia International Hub (PMIH) Kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kata beliau, hasil pemeriksaan menjumpai sembilan paket pembungkus aluminium foil yang mengandungi dadah jenis heroin dengan berat kasar 4.63 kg dengan nilai anggaran harga RM435,220 yang diletakkan di dalam tin minuman.

Jelasnya, barang dagangan berkenaan adalah dari Johor yang diikrarkan sebagai Avocado Multigrain dan akan dieksport ke Australia.

Sementara itu bagi kes berasingan, Pun Sian berkata, pada 11 April lalu jam 11.30 pagi, sepasukan anggota telah menyita satu parcel antarabangsa (inbound) dari Pakistan yang mengandungi dadah di premis (PMIH) Kargo KLIA.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas parcel tersebut menjumpai sembilan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis ketamine dengan anggaran berat kasar 8.894 kg dengan anggaran harga pasaran sekitar RM533,640.

Katanya, siasatan awal mendapati parcel tersebut dikirim ke alamat palsu bagi mengelirukan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, JKDM Zon Tengah telah menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.9 juta, melibatkan 37 kes melalui perkhidmatan kurier dan kargo udara.

"Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan, selain dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti seumpama ini.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM iaitu 1-800-88-8855 atau terus ke pejabat JKDM terdekat di seluruh negara.

Tegasnya, pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.