7 termasuk seorang pegawai ditahan terlibat judi ekor haram

Kok Chin
Kok Chin
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pegawai dan enam anggota polis sebuah balai polis di kawasan Timur Laut, di sini ditahan di sekitar Air Itam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi ekor haram.

Pegawai dan anggota polis berpangkat daripada konstabel hingga asisten superintenden tersebut berusia lingkungan 27 hingga 48 tahun.

Selain mereka, lima orang awam berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun turut ditahan dalam operasi selama dua hari bermula Ahad lalu yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, wang tunai, komputer riba, mesin mengira wang kertas, buah mahjong, dadu dan sebagainya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

"Saya sahkan penahanan tersebut. Tiada penjelasan lanjut yang boleh dibuat ketika ini kerana kes masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!