Guna lori syarikat kurier seludup rokok

Wan Jamal Abdul Salam (tiga dari kanan) menunjukkan rokok-rokok seludup.
Wan Jamal Abdul Salam (tiga dari kanan) menunjukkan rokok-rokok seludup.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan membongkar taktik licik terbaharu kumpulan sindiket menyeludup rokok menggunakan lori syarikat kurier melalui rampasan berjumlah RM5.5 juta pada tiga serbuan berasingan di negeri ini.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, modus operandi licik bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa itu dikesan selepas penahanan seorang pemandu lelaki berusia 42 tahun dalam serbuan pertama di Gua Musang pada jam 10 pagi Khamis lalu.

“Pemeriksaan di dalam lori menjumpai 24,700 karton berwarna coklat berbalut plastik lut sinar dengan kesan pasir mengandungi lebih 4.9 juta batang rokok seludup.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mendapat sejumlah upah untuk membawa lori terbabit selepas bertukar dengan pemandu lain dari Kuala Lumpur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM negeri pada Isnin.

Wan Jamal Abdul Salam (kanan) melihat kotak-kotak mengandungi rokok seludup.
Wan Jamal Abdul Salam (kanan) melihat kotak-kotak mengandungi rokok seludup.

Beliau berkata, serbuan kedua dan ketiga dilakukan di Tumpat pada Sabtu lalu melibatkan dua lori yang mengandungi 10,250 karton berisi lebih dua juta batang rokok seludup.

“Penyeludup dipercayai menggunakan laluan di perairan negara dan sungai untuk menyeludup rokok dari negara jiran ke pasaran di Lembah Klang.

“Mereka disyaki menggunakan bot sebelum memindahkan rokok-rokok ke dalam kenderaan dan membawanya melalui jalan darat ke destinasi sasaran edaran mereka,” ujarnya.

Menurutnya, ketiga-tiga kes dipercayai mempunyai rangkaian sindiket antarabangsa berasingan dan dirisik oleh JKDM selama dua minggu susulan maklumat awam.

Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan rokok di dalam kotak yang dirampas di dalam sebuah lori kurier.
Wan Jamal Abdul Salam (dua dari kanan) menunjukkan rokok di dalam kotak yang dirampas di dalam sebuah lori kurier.

“Jumlah keseluruhan rampasan rokok bernilai RM805,200 itu melibatkan cukai sebanyak RM4.7 juta dan adalah kejayaan terbesar pada tahun ini.

“Kami meminta kerjasama awam untuk menyalurkan maklumat sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam. Identiti pengadu dijamin akan dirahsiakan,” katanya.

Kes-kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda minimum 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana-mana lebih besar dan maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,00 yang mana-mana lebih besar atau dihukum penjara minimum dari enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.