Nurfatin, Melisa lakar sejarah sertai STORM

Nurfatin (kiri) dan Melisa melakar sejarah muncul wanita bomba pertama ditauliahkan sebagai anggota STORM.
Nurfatin (kiri) dan Melisa melakar sejarah muncul wanita bomba pertama ditauliahkan sebagai anggota STORM.
A
A
A

MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan unit elitnya iaitu Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) akan mempunyai kekuatan seramai 700 anggota termasuk pegawai dalam tempoh dua tahun.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ketika ini unit itu dianggotai seramai 466 orang termasuk 39 orang anggota baharu ditauliah hari ini.

Menurutnya, kesemua 39 anggota baharu STORM yang mendapat pentauliahan itu termasuklah dua pegawai bomba wanita, sekali gus mencatat rekod wanita pertama ditauliahkan sebagai anggota STORM.

Pegawai Bomba (PB) Nurfatin Nadia Jamain dan Melisa Canda Anak Jawan melakar sejarah muncul wanita bomba pertama ditauliahkan sebagai anggota STORM.

Pentauliahan itu membolehkan mereka berdua menyertai unit elit tersebut yang selama ini didominasi anggota serta pegawai bomba lelaki.

Nurfatin Nadia, 24, dari Beaufort, Sabah kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor manakala Melisa, 26, dari Sibu berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

Ini bermakna, daripada kesemua 466 anggota STORM di seluruh negara ketika ini, hanya Nurfatin Nadia dan Melisa anggota wanita.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, pihaknya setakat ini tidak meletakkan sebarang sasaran bagi pengambilan anggota wanita menyertai STORM.

Artikel Berkaitan:

Namun, katanya, penyertaan anggota wanita tetap dialu-alukan selain berdasarkan pemilihan sebelum melalui syarat serta ujian lasak dan cukup mencabar.

“Kita kalau boleh nak seramai mungkin anggota wanita menyertai STORM ini dan juga dalam bidang-bidang lain seperti unit menyelamat di air, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Khas STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Pasukan Penyelamat JBPM, Mohd Azhar Abdullah dan Komander STORM, Ismail Abd Ghani.

Abdul Wahab mengakui pada masa ini jumlah kekuatan anggota STORM sedia ada masih belum mencukupi bagi menghadapi sebarang situasi bencana dan menyelamatkan mangsa.

Namun, beliau memberi jaminan pasukan khas tersebut sentiasa bersiap siaga pada bila-bila masa untuk dikerah menjalankan kerja menyelamat bencana sama ada di dalam atau luar negara.

“STORM adalah pasukan elit terlibat dalam operasi besar termasuk tragedi pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor selain tanah runtuh di Pulau Pinang dan operasi mencari dan menyelamat Acap di Gua Tempurung, Gopeng,” katanya.