Frankie, wira K9 bomba sertai perarakan Hari Kebangsaan 2023

Anjing jenis English Springer Spaniel bernama 'Frankie' (kanan) dan anjing jenis Belgian Shepherd bernama 'Tipo' (kiri) ketika sesi latihan stamina sebagai persiapan untuk perbarisan Hari Kebangsaan ke-66 di Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), baru-baru ini. - Foto Bernama
Anjing jenis English Springer Spaniel bernama 'Frankie' (kanan) dan anjing jenis Belgian Shepherd bernama 'Tipo' (kiri) ketika sesi latihan stamina sebagai persiapan untuk perbarisan Hari Kebangsaan ke-66 di Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Frankie, antara sang anjing hero yang diingati kerana ketangkasan ketika terlibat dalam operasi tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember lepas, bakal berarak gagah pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Frankie adalah antara lapan anjing pengesan Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang akan mengambil bahagian dalam perarakan di sini pada 31 Ogos ini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Unit K9 JBPM, H Pramnath berkata, Unit K9 JBPM juga akan menampilkan dua kenderaan khas unit itu yang akan berarak bersama-sama anjing-anjing berkenaan.

Beliau berkata anjing Unit K9 yang terlibat dalam perarakan Hari Kebangsaan 2023 itu adalah daripada tiga disiplin iaitu siasatan kebakaran, misi mencari dan menyelamat (SAR) Cadaver dan SAR Wilderness.

Sebagai persediaan menyertai perarakan tersebut, Pramnath berkata kesemua anjing bersama pengendalinya perlu menjalani latihan intensif dari segi mental dan fizikal terutamanya untuk mengendalikan haiwan berkenaan supaya mengikut arahan ketika berarak.

"Latihan menjelang perbarisan di samping latihan rutin setiap hari ini perlu bagi melatih anjing-anjing ini mendengar arahan pengendali dan tidak merayau semasa perbarisan kerana ada kemungkinan haiwan ini ‘hilang fokus’ bila penat sebab berjalan lebih 3.5 kilometer pada hari itu,” katanya.

Beliau berkata latihan untuk anjing-anjing berkenaan akan bermula esok dan akan diberikan makanan tambahan selain air dan makanan mencukupi bagi lebih bertenaga.

Menurut Pramnath kesemua anjing itu akan didandan sebelum membuat penampilan di hadapan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Anjing-anjing akan didandan dengan lebih ‘istimewa’ seperti dimandikan, dipotong atau dikemaskan bulu supaya nampak lebih kemas dan segak dengan ‘uniform’ yang akan dipakai,” katanya.

Pada Januari lepas, Fankie, anjing daripada baka English Springer Spanial antara empat anjing pengesan K9 JBPM dikurniakan pingat ‘Golden Performance’ oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebagai penghargaan kerana membantu pasukan SAR mencari dan menemukan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tanah insiden Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa.

Pada Februari lepas, Frankie dan sahabatnya dikenali Denti telah menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye bersama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) melibatkan 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

JBPM akan menyertai perarakan di bawah Kontinjen Kesejahteraan di samping beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. - Bernama