Peter fail bantahan ke mahkamah ditolak calon Parlimen Tenom

Peter selepas membuat laporan polis di Tenom.
Peter selepas membuat laporan polis di Tenom.
A
A
A

TENOM - Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony akan memfailkan bantahan ke Mahkamah Tinggi pada Isnin depan berhubung penolakan beliau sebagai calon di Parlimen Tenom.

Menurutnya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pusat telah menolak pencalonannya di Parlimen Tenom dengan alasan bahawa beliau tidak layak bertanding walaupun Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) telah memaklumkan tiada masalah daripada pihak SPR Sabah.

"Proses telah bermula pada jam 9 pagi dan ditutup pada jam 10. Kita telah diminta membuat pembayaran RM15,000 selain dokumen telah diperiksa dan lengkap.

"Kami dibenarkan membuat cabutan nombor dan saya mendapat nombor satu, semua calon ambil ikut urutan enam calon semuanya dan bila selesai, RO telah umum secara rasmi bahawa calon yang akan bertanding.

"Ketika menunggu pengumuman di luar dewan, pihak RO memaklumkan terdapat bantahan daripada Pengarah SPR Pusat dan kita maklumkan kepada mereka bahawa masa bantahan dari jam 9 pagi hingga 10 pagi telah tamat di mana RO telah menerima semua dokumen tanpa bantahan," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Katanya, pada saat akhir RO telah menarik semula keputusan awal pencalonan beliau.

"Kita maklumkan atas sebab apa dibatalkan, mereka cuma nyatakan pihak SPR Sabah tiada masalah cuma pihak SPR Pusat punya masalah.

"Ini berlaku di peringkat saya dan saya telah buat laporan dan akan failkan perkara ini ke mahkamah tinggi pada Isnin untuk meminta kepada mahkamah berhubung keputusan adakah saya layak bertanding atau tidak boleh kerana dalam penghakiman Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini, sabitan tersebut telah digantung seperti saya tiada apa-apa kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Dokumen tersebut telah saya serahkan kepada SPR dan RO, tetapi mereka tidak terima perkara ini seolah-olah saya seorang penjenayah dan tidak layak bertanding dan ini kita serahkan kepada mahkamah," katanya.

Bercakap mengenai kekecohan yang berlaku di pekarangan pusat penamaan calon, Peter berkata, perkara itu berlaku disebabkan rasa tidak puas hati berhubung penolakan pencalonannya di Parlimen berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada penyokong yang berhempas pulas menyokong saya sebab mereka tidak berpuas hati dengan keputusan SPR yang tiba-tiba pada saat akhir menolak pencalonan saya di Parlimen Tenom," katanya.