Peter tidak tersenarai calon Parlimen Tenom

Peter Anthony
Peter Anthony
A
A
A

TENOM - Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony sah tidak bertanding di Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hasil semakan di laman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati nama beliau tidak tersenarai sebaliknya hanya lima calon yang akan bertanding di Parlimen berkenaan.

Antara calon yang akan bertanding ialah penyandangnya, Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (BN), Ukim Buandi (Warisan) dan dua calon Bebas, Riduan Rubin serta Peggy Chaw Zhi Ting.

Sebelum itu, proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan DSP Antanom kecoh apabila penyokong yang memegang bendera KDM dilihat cuba menyerbu masuk ke dewan berkenaan.

Bagaimanapun, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cuba mengawal keadaan dipercayai telah melepaskan gas pemedih mata.

Difahamkan, pencalonan Peter pada proses penamaan calon ditolak SPR, namun sehingga kini belum diketahui punca beliau tidak tersenarai sebagai calon Parlimen Tenom.

Menurut satu video yang dikongsikan kepada media, beliau mendakwa bahawa perjalanan proses penamaan calon pada awalnya tiada sebarang masalah.

Namun selepas cabutan undi dilakukan dan proses hampir selesai beliau mendapat arahan bahawa tidak boleh bertanding.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Peter dijangka mengadakan sidang akhbar di Balai Polis Tenom berhubung perkara itu.