PRN: Calon Bersatu daripada semua sayap parti

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan calon yang bertanding di enam negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini dipilih daripada semua sayap parti itu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemilihan itu merangkumi calon daripada Angkatan Muda Bersatu Malaysia (Armada) dan sayap wanita parti itu, Srikandi.

"Namun kita belum tetapkan peratusan tertentu untuk pemilihan itu. Apa yang penting, kita mahu pastikan calon yang dipilih berkualiti.... Apabila kita tubuh kerajaan, mereka akan memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sembang Santai Pesanan Menuju PRN Kelantan di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, Bersatu mungkin mengetengahkan muka baharu selain calon berpengalaman dan pernah berkhidmat dalam kerajaan.

Katanya Bersatu ketika ini dalam proses memuktamad keseluruhan pembahagian kerusi rakan komponen Perikatan Nasional sebelum mengumumkan calon yang mewakili parti itu dalam PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. - Bernama