Konvensyen Keadilan Kedah platform susun hala tuju, perkukuh gerak kerja parti peringkat negeri

Konvensyen Keadilan Kedah akan berlangsung di Alor Setar pada Jumaat ini.
Konvensyen Keadilan Kedah akan berlangsung di Alor Setar pada Jumaat ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Konvensyen Keadilan Kedah akan menjadi platform perancangan strategik untuk menetapkan keutamaan perjuangan, menyusun hala tuju politik negeri dan menyelaras gerak kerja parti secara lebih sistematik serta berfokus.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, konvensyen berlangsung di sebuah hotel di Alor Setar pada Jumaat ini bakal menghimpunkan pimpinan serta anggota dari seluruh negeri.

Menurutnya, ia sebagai manifestasi usaha memperbaharui iltizam parti dalam memperjuangkan agenda reformasi, keadilan sosial dan pentadbiran adil, telus serta berintegriti.

"Konvensyen turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan amanat sebagai panduan dan pengukuh semangat perjuangan kepada seluruh pimpinan serta anggota parti di negeri Kedah.

"Kehadiran beliau juga mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi untuk terus memperkukuh PKR di Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, kehadiran Anwar itu menegaskan keperluan politik berprinsip, kepimpinan berintegriti dan pembelaan berterusan terhadap kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Dalam perkembangan sama, Tunku Nashrul menyifatkan, konvensyen terbabit dijangka menjadi pemacu penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan parti dan organisasi.

Selain itu, beliau memberitahu, konvensyen akan meningkatkan keyakinan anggota dalam mendepani cabaran politik semasa dan mendatang, khususnya dalam mengukuhkan sokongan rakyat, sekali gus memperjuangkan tadbir urus adil serta wibawa.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Konvensyen Keadilan Kedah akan menjadi platform perancangan strategik untuk PKR di negeri tersebut
  • Konvensyen berlangsung di Alor Setar dan akan mengumpulkan pimpinan serta anggota PKR seluruh negeri
  • Akan dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan amanat
  • Kehadiran Anwar menegaskan komitmen kepimpinan terhadap prinsip politik, integriti dan pembelaan rakyat
  • Konvensyen dijangka memperkukuh kesiapsiagaan parti dan meningkatkan keyakinan anggota dalam menghadapi cabaran politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!