MIC tubuh jawatankuasa bantu tangani isu kuil tidak sah

TAPAH – MIC akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Malaysia Hindu Sangam bagi memantau dan membantu menangani isu rumah ibadat yang dibina di atas tanah bukan milik sah.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, jawatankuasa itu akan berperanan sebagai mediator sekiranya timbul pertikaian melibatkan status tanah dan pemilikan rumah ibadat.
Menurutnya, sekiranya didapati tanah berkenaan bukan milik rumah ibadat, pihaknya akan membantu mencari penyelesaian terbaik termasuk memberi ruang kepada pengurusan kuil untuk berpindah secara berhemah.
"Peranan MIC bersama Hindu Sangam, kita akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau dan membantu. Kalau tanah itu bukan hak milik rumah ibadat, kita boleh jadi mediator antara pihak kuil dengan tuan punya tanah supaya cari penyelesaian.
"Mungkin kalau perlu dipindahkan, pindah secara berhemah dan beri masa supaya mereka cari tanah alternatif. Tapi kalau tuan punya tanah mahukan tanah itu, kita kena serah, kita tak boleh tuntut itu tanah kita,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dan Dermasiswa IPTA/IPTS Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini pada Rabu.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut menegaskan pendirian masyarakat India di negara ini yang tidak menyokong pembinaan rumah ibadat di atas tanah orang lain tanpa izin.
"Saya nak kerajaan dan Perdana Menteri faham, pendirian masyarakat India hari ini kita tidak menyokong mana-mana individu bina tokong di atas tanah orang lain. Itu salah.
"Kita sebagai rakyat negara ini perlu akur dan patuh kepada Perlembagaan dan peraturan sedia ada. Saya tidak akan berkompromi, termasuk di Parlimen Tapah, kami tidak sokong apa-apa pembinaan tanpa kebenaran," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan tindakan terhadap rumah ibadat yang telah lama wujud perlu ditangani secara berhati-hati memandangkan ia melibatkan isu sensitif berkaitan agama.
Menurutnya, sekiranya rumah ibadat berkenaan telah lama dibina walaupun tanpa kelulusan, pemilik wajar diberi ruang dan masa untuk memindahkan sendiri struktur tersebut tanpa perlu tindakan perobohan secara drastik.
“Kalau rumah ibadat itu baru dibina atau sedang dibina, saya setuju tindakan penguatkuasaan diambil. Tetapi apabila ia sudah lama berada di lokasi itu, beri ruang kepada pemilik untuk pindah secara sendiri.
“Namun, jika tanah itu memang bukan milik mereka dan dituntut pemilik sah kita tetap perlu serahkan kembali kepada tuan punya tanah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata isu berkenaan sepatutnya ditangani pihak PBT, kerajaan dan pemilik tanah, bukannya individu tertentu yang tidak mempunyai autoriti.
Pada majlis itu seramai 280 penerima dalam kalangan lepasan SPM, STPM dan pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi diraikan.
Ringkasan AI
- MIC akan menubuhkan jawatankuasa bersama Malaysia Hindu Sangam untuk memantau isu rumah ibadat di tanah bukan milik sah
- Jawatankuasa berfungsi sebagai mediator dalam pertikaian status tanah dan pemilikan rumah ibadat
- Sekiranya tanah bukan milik, akan dicari penyelesaian termasuk pemindahan berhemah rumah ibadat
- Masyarakat India di Malaysia tidak menyokong pembinaan rumah ibadat tanpa izin di tanah orang lain
- Rumah ibadat lama tanpa kelulusan diberi ruang untuk pindah sendiri tanpa tindakan perobohan drastik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

