Hotel di Kuala Lumpur ketinggalan zaman

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEMENJAK bayaran tanpa tunai makin meluas di negara ini, Merak Jalanan jarang sekali mempunyai wang tunai di dalam dompet.

Boleh dikatakan dalam kehidupan seharian transaksi bayaran semuanya tanpa tunai dari warung sarapan pagi hinggalah ke pasar basah membeli ikan dan sayur-sayuran.

Semua urusan pembelian menjadi mudah asalkan mempunyai telefon, kad debit ataupun jam tangan yang mempunyai ciri-ciri untuk membuat bayaran tanpa tunai.

Dan yang paling penting mempunyai wang mencukupi dalam akaun kerana tanpa duit walaupun secanggih mana pun kaedahnya, bayaran akan menghadapi masalah.

Dengan kemajuan teknologi ini, Merak Jalanan berasa makin mudah untuk melengkapkan pembelian tanpa perlu ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Semoga suatu masa nanti, wang saku persekolahan anak-anak juga boleh menggunakan pembayaran tanpa tunai di kantin dan koperasi.

Ia boleh direalisasikan kerana platform tersebut sudah tersedia dan hanya memerlukan sokongan daripada kementerian berkaitan.

Oleh kerana kemudahan penggunaan tanpa tunai sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup, Merak Jalanan sebenarnya agak terkejut apabila terdapat hotel di ibu negara seperti ketinggalan dalam bab ini.

Artikel Berkaitan:

Contohnya pada minggu lalu Merak Jalanan menghadapi kesulitan untuk membayar parkir kereta di sebuah hotel kerana tiada khidmat tanpa tunai.

Mesin bayaran hanya menerima wang tunai dan kebetulan pula tiada mesin ATM di kawasan berhampiran hotel.

Berpeluh juga Merak Jalanan ke sana ke mari mencari wang tunai untuk melunaskan bayaran parkir berkenaan.

Amat menghairankan hotel tengah-tengah hutan batu bandar raya masih menggunakan cara tradisional dalam transaksi bayaran.