Tiga rakan didakwa curi wang tunai RM900,000

Tiga lelaki ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu atas tuduhan mencuri wang tunai RM900,000.
Tiga lelaki ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu atas tuduhan mencuri wang tunai RM900,000.
A
A
A

MELAKA - Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas tuduhan mencuri wang tunai kira-kira RM900,000 milik sebuah syarikat kawalan keselamatan aset, Februari lalu.

Md Halman Lagis, Aszemi Dol dan Musliandee Mustapa Kamal berusia 43 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan dua yang masih bebas telah melakukan pecah pejabat dan mencuri wang tunai lebih kurang RM900,000 milik SRT- EON Security Service Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12 tengah malam sehingga 1 pagi di Jalan Tasik Utama 2, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini, pada 21 Februari lalu.

Sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan kerana masing-masing telah berkahwin dan mempunyai tanggungan keluarga termasuk anak yang masih kecil.

Selain itu mereka hanya bekerja sebagai pemandu lori, pemandu van kesihatan dan nelayan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 27 Jun depan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam.