Bank Rakyat anjur Festival Rakyat berkonsepkan tanpa tunai

Suriani (tengah) meletakkan replika kad ATM Bank Rakyat sebagaj simbolik perasmian Festival Rakyat.
Suriani (tengah) meletakkan replika kad ATM Bank Rakyat sebagaj simbolik perasmian Festival Rakyat.
A
A
A

BANK Rakyat menganjurkan Festival Rakyat berkonsepkan tanpa tunai selama empat hari bermula Khamis dengan menghimpunkan 150 usahawan jenama terkenal di Anjung Floria dekat sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, Festival Rakyat ini merupakan platform terbaik kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan dengan memperkenalkan produk keluaran mereka di samping meneroka peluang pasaran serta jaringan kerjasama baharu.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Bank Rakyat sentiasa peka dan prihatin terhadap kemampanan dan kesejahteraan usahawan terutamanya mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Festival Rakyat yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Menurut beliau, inisiatif itu sejajar dengan komitmen Bank Rakyat di bawah pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) bagi menyokong usaha berterusan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing dan kompetitif.

Sementara itu, Suriani di dalam ucapannya berkata, beliau meletakkan sasaran nilai jualan sebanyak RM2 juta sepanjang penganjuran festival ini.

"Penyertaan usahawan dalam festival ini tidak melibatkan sebarang kos termasuk penyediaan tapak reruai percuma kepada usahawan.

"Semoga kemudahan ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat usahawan untuk terus memajukan perniagaan mereka,” tambahnya.

Festival Rakyat dibuka dari jam 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam menjanjikan pelbagai tawaran menarik kepada komuniti di sekitar Putrajaya termasuk daerah Sepang dan Lembah Klang bagi membuat persiapan kelengkapan sambutan Aidilfitri.