'Pembelaan tidak boleh sertai prosiding cabar kredibiliti saksi'

Ahmad Zahid tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri perbicaraan. - Foto Bernama
Ahmad Zahid tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri perbicaraan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhujah di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa pembelaan tidak boleh menyertai prosiding untuk mencabar kredibiliti saksinya.

Ia membabitkan saksi ketiga pembelaan, Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna (M) Sdn Bhd, Jefri Jamil, 38.

Ketika membantah prosiding mencabar kredibiliti saksi itu yang didakwa memberikan keterangan bercanggah di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tindakan itu tidak boleh diambil selagi dokumen yang dipertikaikan tidak dinyahklasifikasi.

Menurutnya, kenyataan yang diberikan saksi itu ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 lalu, diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan perlu dinyahklasifikasi terlebih dahulu.

“Ini boleh dianggap melanggar undang-undang jika memiliki atau melihat dokumen berkenaan.

“Selepas dokumen itu dinyahklasifikasi, barulah pihak pembelaan boleh mengambil bahagian dalam prosiding ini,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, pembelaan tidak boleh mengambil bahagian kerana dokumen kenyataan Jefri sebanyak tiga muka surat itu, masih tertakluk di bawah OSA.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberi hujah bahawa dokumen yang diklasifikasikan bawah OSA masih boleh dikemukakan di mahkamah bagi prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia tidak boleh menyebabkan pembelaan bertanggungjawab terhadap perkara yang boleh melanggar peruntukan undang-undang.

“Ini adalah prosiding kehakiman, saya adalah penjawat awam, begitu juga Yang Arif.

“Kami tidak diberi kebenaran untuk menyahklasifikasikan dokumen itu, tetapi akan menimbangkan untuk meneliti perkara berkenaan,” katanya selepas dicadangkan oleh mahkamah.

Pada 22 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi ketiga pembelaan yang didakwa memberikan keterangan bercanggah.

Sequerah memutuskan demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!