Pemilik menara telekomunikasi perlu kelulusan sebelum pembinaan - MCMC

MCMC tidak menyokong sebarang pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dijalankan tanpa kelulusan sewajarnya.
MCMC tidak menyokong sebarang pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dijalankan tanpa kelulusan sewajarnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pemilik struktur telekomunikasi bertanggungjawab mendapatkan kelulusan tanah melalui Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor serta permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum memulakan sebarang kerja pembinaan.

Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya tidak menyokong sebarang pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang dijalankan tanpa kelulusan sewajarnya.

“MCMC turut meneliti penambahbaikan proses, termasuk mewajibkan syarikat telekomunikasi atau Network Facilities Provider memperoleh kelulusan PBT terlebih dahulu sebelum pendaftaran tapak atau permohonan penguntukan radas dikemukakan kepada MCMC,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan aduan penduduk mengenai pembinaan sebuah struktur telekomunikasi tanpa kelulusan di Lot 60458, Jalan Bukit Jati 1A, Klang pada Jumaat.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengambil tindakan tegas dengan menyita struktur telekomunikasi berkenaan.

Menurut kenyataan MCMC, siasatan bersama MBDK, One Stop Agency (YTSB) dan EDOTCO mengesahkan bahawa struktur jenis smartpole setinggi 24 meter itu adalah milik Edotco (M) Sdn Bhd dan telah dibina tanpa permit.

Ujarnya, setakat ini MCMC juga belum menerima sebarang permohonan untuk ulasan teknikal seperti yang sepatutnya.

“Untuk makluman, struktur berkenaan dicadangkan sebagai penggantian kepada struktur PBTS sedia ada bagi memenuhi keperluan liputan dan kapasiti rangkaian komunikasi mudah alih dengan liputan jenis luar bangunan, melibatkan kawasan Kampung Kuantan, Kampung Datok Dagang, Taman Shahbandar, Taman Bukit Jati dan Taman Jati.

“Namun MCMC menegaskan bahawa tujuan teknikal tersebut tidak mengatasi keperluan pematuhan perundangan dan sebarang pembinaan atau pengoperasian infrastruktur hanya boleh dilaksanakan setelah semua kelulusan pihak berkuasa berkaitan diperoleh sepenuhnya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Semua pemilik struktur telekomunikasi perlu mendapat kelulusan tanah dari PTG Selangor dan permit dari PBT sebelum pembinaan
  • MCMC tidak menyokong pembangunan infrastruktur telekomunikasi tanpa kelulusan sewajarnya
  • Syarikat telekomunikasi perlu mendapat kelulusan PBT sebelum memulakan pendaftaran tapak atau permohonan penguntukan radas
  • Struktur telekomunikasi tanpa kelulusan telah dibina di Klang dan kemudiannya disita oleh MBDK
  • Pembinaan infrastruktur telekomunikasi hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat semua kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!