Kecekapan tadbir urus bantu negara keluar dari pelbagai kemelut

Ismail Sabri tiba pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri tiba pada Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kecekapan kerajaan dalam mentadbir urus membolehkan negara keluar daripada pelbagai kemelut yang melanda dan memberi kesan kepada ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara pernah mengharungi tempoh sukar sejak kebelakangan ini, dan ia bermula dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kini negara berhadapan pula dengan krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.

"Hari ini, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.

"Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.

"Kadar pengangguran pada bulan Ogos lalu iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi #Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia.

Menurutnya, kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan September lalu berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos lalu.

"Kadar ini lebih rendah berbanding negara serantau dan negara lain iaitu Zon Euro (10 peratus), Amerika Syarikat (8.2 peratus), Thailand (6.4 peratus), Filipina (6.9 peratus) dan Republik Korea (5.6 peratus)," ujar beliau lagi.