PRU15: Pas Pahang yakin mampu tambah kerusi

 Rosli Abdul Jabar
Rosli Abdul Jabar
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang yakin bahawa parti Islam itu mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, bagi mencapai hasrat itu rakan gabungan parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedang bekerja keras untuk menewaskan BN.

Tegasnya, Pas telah memenangi lapan kerusi pada pilihan raya yang lalu ketika bertanding secara solo dan kalah tipis di beberapa kerusi lain.

"Insya-ALLAH kali ini Pas akan masuk PRU15 (bertanding) secara gabungan bersama Bersatu dan Gerakan. Dengan sokongan baru daripada parti gabungan ini kita yakin PN akan mendapat pertambahan kerusi.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menyaksikan undi BN tidak bertambah, namun peningkatan dan penambahan undi begitu mendadak kepada PN. Jika trend ini berlaku di Pahang, kemungkinan PN dapat memerintah negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan bertekad untuk memastikan Pas tewas lapan kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Wan Rosdy dilaporkan berkata, Pas sanggup 'kehilangan' lambang perjuangan mereka apabila menyertai gabungan PN.

Mengulas lanjut, Rosli yang juga Naib Pengerusi PN mengatakankeyakinan bahawa rakyat dapat menilai dan akan memilih parti yang lebih berintergriti.

Tambah beliau, pimpinan BN masih lagi dihantui dengan isu-isu intergriti seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

"Pakatan Harapan (PH) pula hanya mempunyai sokongan kuat di kerusi- kerusi pengundi bukan melayu, namun purata senario ini tidak menyeluruh, hanya tempat-tempat tertentu sahaja.

"PH masih gagal untuk menguasai pengundi melayu terutama DAP," kata beliau lagi.

Rosli yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur memaklumkan, Pas juga mengemukakan calon yang berkebolehan untuk menang, selain dari lapan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpengalaman dalam pentadbiran.

Artikel Berkaitan: