[VIDEO] Pemuda Pas Pahang serah memorandum isu air

Mohd Zarimi (depan, tiga dari kiri) menyerahkan memorandum isu air kepada Tuan Ibrahim di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Mohd Zarimi (depan, tiga dari kiri) menyerahkan memorandum isu air kepada Tuan Ibrahim di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pemuda Pas Negeri Pahang menyerahkan memorandum isu air yang berlaku di negeri ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) untuk dibawa pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 yang berlangsung pada Isnin hingga Jumaat ini.

Ketua Pemuda Pas Pahang Mohd Zarimi Abu Zih berkata, kerajaan negeri diminta mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu air yang berlaku hampir di semua daerah di Pahang.

"Penjelasan juga perlu diberikan tentang kerugian yang dialami Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kita minta ADUN PN membawa isu itu pada Sidang DUN yang berlangsung untuk perhatian dan tindakan daripada kerajaan negeri agar masalah air yang berlaku dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum ini kepada ADUN PN yang diketuai ADUN Cheka yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, memorandum isu air yang diserahkan Pemuda Pas Pahang merupakan aduan-aduan dikumpul berkaitan masalah air yang diterima daripada rakyat di seluruh negeri.

Menurutnya, masalah itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri berdasarkan masalah-masalah yang disenaraikan termasuk loji-loji rawatan air lama yang perlu dinaik taraf, isu gangguan bekalan air, kes-kes paip pecah dan sebagainya.

"Perkara ini perlukan perhatian dan tindakan kerajaan negeri supaya masalah gangguan bekalan air yang berlaku dapat diselesaikan.

"Kita juga minta kerajaan negeri mewartakan kawasan tadahan air sebagai hutan simpan kekal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terjejas disebabkan aktiviti penerokaan untuk tujuan pembalakan, perlombongan dan sebagainya," katanya.