Polis nafi mangsa pukul meninggal dunia

Polis Hulu Selangor menafikan mesej mendakwa mangsa kes pukul di Taman Seri Serendah Serendah Isnin lalu meninggal dunia.
Polis Hulu Selangor menafikan mesej mendakwa mangsa kes pukul di Taman Seri Serendah Serendah Isnin lalu meninggal dunia.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis menafikan satu kenyataan tular mendakwa mangsa yang cedera dipukul akibat perselisihan faham di Taman Sri Serendah, di sini 24 Oktober lalu telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya mengesan mesej mendakwa mangsa berkenaan meninggal dunia tular di aplikasi WhatsApp.

"Polis Hulu Selangor menegaskan bahawa segala kenyataan yang telah tular mendakwa mangsa terbabit meninggal dunia adalah tidak benar sama sekali.

"Mangsa dalam keadaan stabil dan pihak Hospital Selayang telah membenarkan mangsa pulang ke rumah pada 26 Oktober serta telah disahkan oleh ahli keluarga terdekat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 25 Oktober Sinar Harian melaporkan, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes memukul seorang lelaki sehingga menyebabkan kecederaan akibat perselisihan faham di Taman Sri Serendah, di sini pada Isnin.

Kedua-dua suspek yang berusia 40 dan 45 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Serendah dan direman hingga Jumaat bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, Suffian berkata, keseluruhannya seramai lapan suspek telah ditangkap dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Katanya, hasil semakan mendapati, lima daripada lapan lelaki terbabit mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah manakala tiga lagi tiada rekod.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman bermula 25 sehingga 28 Oktober di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin berkenaan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap individu terlibat.

Katanya, individu menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara serta denda mencecah RM50,000.