Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan RM5.1 juta

Sultan Nazrin (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada TNB yang diwakili Hasan di Istana Changkat Persekutuan di sini hari ini.
Sultan Nazrin (kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada TNB yang diwakili Hasan di Istana Changkat Persekutuan di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dan wakaf berjumlah RM5.1 juta daripada tujuh syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Changkat Persekutuan di sini, pada Rabu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin menyerahkan zakat perniagaan tertinggi dengan jumlah bayaran RM3.2 juta diikuti Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang diwakili Ahli Jawatankuasa Syariah BPMB, Lokmanulhakim Hussain dengan jumlah zakat perniagaan RM507,550.

Sementara itu, Maybank Islamic Berhad turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM498,652 menerusi Ahli Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad, Muhammad Ali Jinnah Ahmad.

Baginda turut menerima serahan zakat daripada CIMB Islamic Berhad berjumlah RM350,000 yang disampaikan oleh Ketua Serantau, Sektor Awam, Kumpulan CIMB, Zainul Zain Hashim.

Selain itu, Agrobank juga turut membuat serahan zakat perniagaan berjumlah RM243,576 menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin diikuti Telekom Malaysia Berhad diwakili oleh Pengurus Besarnya, Badrul Hisham Bahari berjumlah RM228,957.

Pihak Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad pula memberi sumbangan Wakaf Tunai berjumlah RM100,000 yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am Berhad, Mohamed Sabri Ramli.

Hadir sama pada majlis berkenaan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Mohamad Othman Zainal Azim; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Anggota MAIPk, Prof Datuk Dr Ansary Ahmed, Datuk Mohd Yusop Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.

Artikel Berkaitan: