Sultan Nazrin berkenan sampaikan tauliah pelantikan hakim syariah

Sultan Nazrin (dua dari kanan) berkenan menyampaikan tauliah Hakim Negeri Perak kepada Zulkefli Ahmad (kiri) pada Majlis Berbuka Puasa Meraikan Pegawai-Pegawai Agama dan Masjid di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu. - Foto Bernama
Sultan Nazrin (dua dari kanan) berkenan menyampaikan tauliah Hakim Negeri Perak kepada Zulkefli Ahmad (kiri) pada Majlis Berbuka Puasa Meraikan Pegawai-Pegawai Agama dan Masjid di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan tauliah pelantikan hakim-hakim syariah negeri Perak serta anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.

Penerimaan tauliah pelantikan tersebut didahului hakim Mahkamah Utama Syariah negeri Perak, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Turut menerima tauliah pelantikan jawatan yang sama ialah Tan Sri Balia Yusof Wahi.

Dua hakim Mahkamah Rayuan Syariah negeri Perak turut menerima tauliah pelantikan iaitu Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Seri Abdul Razak Musa.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan tauliah pelantikan kepada dua hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri Perak iaitu Azman Saad dan Muhammad Fauzi Uzir Abd Wahab.

Turut menerima tauliah pelantikan ialah anggota MAIPk yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Di majlis yang sama, Sultan Nazrin turut berkenan menerima peruntukan kewangan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM77, 769, 264. 00 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

Peruntukan itu ialah bagi tujuan bayaran kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa di Perak bagi tahun 2023.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyampaikan peruntukan itu kepada Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Baginda kemudian mencemar duli berbuka puasa bersama tetamu termasuk 240 pegawai agama dan pegawai masjid negeri Perak dan menunaikan solat Maghrib berjemaah. - Bernama