Rayuan Najib dapatkan dokumen Goldman Sachs, Zeti Akhtar 8 Disember

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan dokumen membabitkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa ditetapkan 8 Disember depan.

Tiga panel hakim dipengerusikan oleh Datuk Seri Kamaluddin Md Said bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon manakala responden oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

"Kami memerlukan masa untuk membuat penelitian, maka mahkamah menetapkan keputusan permohonan rayuan pada 8 Disember,” katanya Kamaluddin.

Semasa hujahan, Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merayu agar pendakwaan dapat membekalkan dokumen yang relevan membabitkan syarikat berkaitan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Zeti Akhtar.

Menurutnya, dokumen transaksi kewangan itu sangat diperlukan bagi perbicaraan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Semasa prosiding peguam itu berkata, ia berada dalam milikan pasukan pendakwaan dan pihak berkuasa.

“Mereka tidak pernah cakap, tidak memilikinya dokumen itu, tapi mereka hanya kata tidak mempunyai dokumen berkaitan Goldman Sach,” katanya.

Bagaimanapun, Sri Ram menghujahkan bahawa, tuduhan bahawa pasukan pendakwaan memiliki dokumen itu adalah bersifat ‘dengar cakap’.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembelaan sering menggunakan hujahan dengan mengatakan mereka memiliki dokumen tersebut hanya berdasarkan laporan berita oleh sebuah portal.

“Bagaimana kami nak beri sedangkan kami tidak memilikinya, mereka tidak boleh cakap kami ada dokumen itu, dek kerana tuduhan pihak lain.

“Sebenarnya, saya tidak perlu layan cerita ‘dengar cakap’, kalau mereka yakin dokumen itu ada, mereka boleh ambil daripada sumber itu,” katanya.

Untuk rekod, Najib dalam usaha mendapatkan dokumen bank untuk digunakan dalam perbicaraannya membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Beliau merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai 2021 yang menolak dua permohonan penemuannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB mendedahkan dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti Akhtar atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada Jho Low.

Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac 2021 untuk meminta pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low dan keluarga Zeti Akhtar dalam kes 1MDB.

Najib juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.