Cubaan seludup sekerap aluminium RM819,000 tumpas

Misbahudin menunjukkan sekerap aluminium yang telah dimampatkan menjadi bongkah aluminium di dalam salah sebuah kontena yang diperiksa.
Misbahudin menunjukkan sekerap aluminium yang telah dimampatkan menjadi bongkah aluminium di dalam salah sebuah kontena yang diperiksa.
A
A
A

PASIR GUDANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup sekerap aluminium (aluminium scrap) bernilai RM819,000 hasil pemeriksaan yang dilakukan di Pelabuhan Johor pada Isnin.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Misbahudin Parmin berkata, pemeriksaan yang dilakukan sekitar jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari itu mendapati barangan dagangan berkenaan yang dimuatkan dalam tiga kontena itu turut tidak memiliki sebarang cukai eksport dan keperluan permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, dagangan sekerap aluminium adalah larangan eksport dan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 di mana pengeksportan dagangan ini memerlukan permit daripada MITI.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan, kita dapati ketiga-tiga kontena berkenaan mengandungi 73,696 kilogram (kg) aluminium scrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah.

“Hasil siasatan, kita juga mendapati modus operandi sindiket penyeludupan yang terlibat adalah membuat pengikraran palsu serta perakuan tidak benar dalam Borang Kastam 2 (BK2) semasa pengeksportan dibuat bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan duti eksport sebanyak 10 peratus dan mengelak mengemukakan permit MITI," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 28 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan, namun dibebaskan dengan jaminan RM5,000 pada hari yang sama (Isnin).

Untuk rekod, anggaran barang dagangan yang dirampas (aluminium scrap) yang dirampas bernilai RM745,300 dengan duti eksport berjumlah RM74,500.

Kes disiasat di bawah Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) Akta yang sama iaitu membuat kesalahan pengikraran tidak benar dan terlibat dalam cubaan mengeksport barang larangan bersyarat tanpa permit dan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a), boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) pula, boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih besar, atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Misbahudin menunjukkan kepingan logam yang masih belum dimampatkan yang turut ditemui dalam salah sebuah kontena yang diperiksa.
Misbahudin menunjukkan kepingan logam yang masih belum dimampatkan yang turut ditemui dalam salah sebuah kontena yang diperiksa.

Dalam pada itu, Misbahudin berkata, permintaan tinggi bagi sekerap aluminium di pasaran hari ini, disyaki menjadi punca kepada cubaan mengeksport barang berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya turut mendapati barangan dagangan itu cuba dieksport ke negara-negara Asia Timur.

“Kita juga mengesyaki pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini juga telah beroperasi sejak sekian lama dan menjadikan pelabuhan di Pasir Gudang ini bagi tujuan eksport.

“Oleh itu kita menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan ini khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan selain dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan sebarang aktiviti berkenaan kerana ia bukan sahaja merugikan negara malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam yang terdekat. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.