11 lokasi jalan raya di Pasir Gudang dalam proses penyelenggaraan

Onn Hafiz - Foto Bernama
Onn Hafiz - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri sedang melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan raya melibatkan 11 lokasi di sekitar Pasir Gudang dekat sini, demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerja pembaikan itu termasuk jalan di kawasan perindustrian Tanjung Langsat; Lebuhraya Pasir Gudang; Jalan Kota Masai, Taman Kota Masai; Jalan Besar; dan Jalan Mesjid, bandar Pasir Gudang.

Beliau berkata, selain itu Jalan Pekeliling, Jalan Timah 1, Jalan Platinum Utama, Jalan Platinum 1 dan 2, serta Jalan Perak 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.

"Syukur alhamdulillah. Saya telah dibentangkan perkembangan pembaikan dan penyelenggaraan jalan-jalan di seluruh Johor.

"Walau begitu, masih banyak jalan yang perlu diselenggara dan dibaik pulih, demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Onn Hafiz memaklumkan beliau turut menerima laporan mengenai beberapa kerja penyelenggaraan yang telah dan akan siap dalam masa terdekat, melibatkan Jalan Kota Tinggi-Mersing; Jalan Lapangan Terbang Senai; Jalan Pontian-Kukup; Jalan Batu Pahat-Mersing; Jalan Yong Peng-Muar; Jalan Tenggaroh Selatan dan Jalan Utama Tenggaroh di Mersing.

Beliau berkata, selain itu, jalan raya di Felda Inas, Kota Tinggi; Jalan Muar-Segamat; Jalan Felda Kemelah; Jalan Muar-Yong Peng; Lebuhraya Pasir Gudang serta Jalan Permas Jaya-Pasir Gudang.

"Saya yakin dengan kerjasama semua pihak keadaan infrastruktur di negeri ini akan (dapat) diperbaiki demi keselesaan dan keselamatan pengguna terutamanya Bangsa Johor,” katanya. - Bernama