Cubaan seludup 23 PATI gagal

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

TUMPAT - Cubaan seorang lelaki menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan lori terbongkar selepas ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam serbuan di Kampung Telaga Bata di sini pada Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lori terbabit ditahan pada jam 4.45 petang semasa anggota PGA melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

"Semasa melakukan rondaan, anggota bertugas telah melihat sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Telaga Bata, Chabang Empat dekat sini.

"Menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu tersebut telah bertindak memecut laju bagi mengelakkan daripada ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, tindakan pantas PGA berjaya menahan lori tersebut bagaimanapun berlaku pergelutan selepas pemandu bertindak melarikan diri.

Ujarnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun berjaya ditahan hasil kecekapan anggota bertugas.

Muhamad Zaki memberitahu, hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori itu membawa kepada penemuan sembilan lelaki dan lapan wanita warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berusia antara 15 hingga 40 tahun.

"Pada masa sama, PGA telah menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang dipandu lelaki warga tempatan di Jalan Terbok-Kelaboran berhampiran Kampung Belukar.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai enam lelaki warganegara Myanmar berada di tempat duduk penumpang," ujarnya.

Menurut Muhamad Zaki, kesemua tangkapan dan barang kes dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai lima rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik.

Tambahnya, kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 40 tahun ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala 23 PATI terbabit ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.