Palm wax bernilai RM80,000 lesap dicuri pekerja

Kontena berisi muatan palm wax yang berjaya dilarikan suspek sebelum diberkas di Klang, Rabu lalu.
Kontena berisi muatan palm wax yang berjaya dilarikan suspek sebelum diberkas di Klang, Rabu lalu.
A
A
A

KLANG - Kegiatan curi 2,202 kotak berisi lilin sawit (palm wax) bernilai RM80,000 yang disimpan di dalam dua kontena di kawasan perindustrian Pandamaran, di sini terbongkar susulan penahanan tiga individu, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu disedari pegawai operasi yang bertugas di kawasan perindustrian terbabit kira-kira 11.30 pagi, Isnin lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati 2,202 kotak berisi bahan palm wax yang diguna untuk produk kosmetik dan kecantikan itu telah dicuri.

"Hasil siasatan mendapati barangan yang hilang telah disimpan di dalam kontena pada 8 Oktober sementara menunggu penghantaran ke luar negara pada 18 Oktober dan semakan rekod di pintu masuk mendapati tiada sebarang pergerakan keluar daripada tempoh kemasukan barangan itu.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang pekerja daripada syarikat tersebut telah masuk dalam keadaan mencurigakan sebelum merosakkan rakaman CCTV di kawasan kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 11.30 pagi, Rabu lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah memberkas tiga suspek warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

Katanya, kesemua suspek ditahan di kawasan Taman Pendamar Indah 2, Pandamaran, di sini.

"Polis turut berjaya merampas pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati dua suspek iaitu pasangan kekasih adalah pekerja syarikat terbabit manakala seorang lagi adalah bekas pekerja," ujarnya.

Tambahnya, semakan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

"Ketiga-tiga suspek kini direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan," tegasnya.