SUA Anwar diarah bayar RM80,000 kepada Yusoff Rawther

Mohamed Haniff (kiri) dan Muhammed Yusoff Rawther - Foto Bernama
Mohamed Haniff (kiri) dan Muhammed Yusoff Rawther - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menolak rayuan Setiausaha Akhbar (SUA) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berhubung keputusan Mahkamah Sesyen tahun lalu, yang memerintahkannya membayar ganti rugi kerana memfitnah bekas pembantu penyelidikan Anwar, Muhammed Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Khadijah Idris membenarkan rayuannya bagi mengurangkan jumlah pampasan itu daripada RM200,000 kepada RM80,000.

Tunku Nashrul selaku perayu turut dikenakan bayaran RM6,000 sebagai kos kepada Muhammed Yusoff.

Ketika dihubungi, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Muhammed Yusoff berkata, mahkamah memutuskan demikian melalui e-mel selepas mendengar hujahan pada 21 Februari lalu.

"Tunku Nashrul dikehendaki menarik balik kenyataan media yang memfitnah anak guam saya pada 10 Jun 2019.

"Mahkamah juga mengekalkan perintah supaya Tunku Nashrul memohon maaf atas syarat yang boleh diterima oleh Muhammed Yusoff," katanya.

Selain Mohamed Haniff, Muhammed Yusoff turut diwakili peguam Nurul Huda Razali sementara Tunku Nashrul diwakili peguam, Azwar Manab.

Pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Tunku Nashrul membayar ganti rugi RM200,000 kepada Muhammed Yusoff berhubung suatu kenyataan fitnah, empat tahun lalu.

Faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas jumlah itu akan dikenakan bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Selain itu katanya, defendan diperintahkan untuk menarik balik kenyataan media yang dibuat pada 10 Jun 2019, dalam tempoh 45 hari.

Pada 12 September 2019, Muhammed Yusoff memfailkan saman fitnah terhadap Tunku Nashrul berhubung kenyataan media yang dikeluarkan selaku Setiausaha Akhbar di pejabat Anwar pada 10 Jun tahun sama.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Nashrul menunjukkan bahawa plaintif merupakan penyelidik sukarela dan mempunyai masalah disiplin dan dadah.