Lembu dalam kandang lesap dicuri

Lembu jantan baka Charolais bersama ibu dan anak lembu berusia lebih setahun hilang kira-kira jam 7 pagi ketika mahu mengeluarkan dari kandang. - Gambar hiasan
Lembu jantan baka Charolais bersama ibu dan anak lembu berusia lebih setahun hilang kira-kira jam 7 pagi ketika mahu mengeluarkan dari kandang. - Gambar hiasan
A
A
A

BESUT – Harapan seorang penoreh getah untuk mengorbankan lembu jantan baka Charolais pada Hari Raya Aidiladha nanti tidak kesampaian apabila haiwan tersebut dicuri dalam satu kejadian, pada Selasa lalu.

Mohd Zaid Samir, 63, dari Kampung Gong Penaga, Renek, di sini menyedari lembu tersebut bersama ibu dan anak lembu berusia lebih setahun hilang kira-kira jam 7 pagi ketika mahu mengeluarkan dari kandang.

“Sudah menjadi rutin setiap pagi saya ke kandang yang terletak kira-kira tiga meter dari rumah untuk beri lembu makan sebelum pergi menorah getah.

“Sebaik tiba, saya nampak kayu yang digunakan untuk menutup pintu kandang tersusun di luar manakala tiga lembu peliharaan iaitu seekor ibu kampung, lembu jantan dan anak lembu kedua-duanya baka Charolais hilang.

“Walaupun mengesyaki tiga lembu ini sudah dicuri, saya tetap berusaha mencari di kawasan berhampiran namun gagal,” katanya ketika dihubungi, di sini pada Jumaat.

Berikutan kejadian itu, Mohd Zaid terpaksa menanggung kerugian lebih RM15,000.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat menjual lembu jantan itu walaupun pernah ditawarkan pada harga RM9,000 kerana merancang mahu dikorbankan Hari Raya Aidiladha atas permintaan anak-anak.

“Namun tidak sangka pula kejadian ini boleh berlaku kerana lembu-lembu ini sudah diikat dalam kandang tepi rumah, bukan dibiarkan bebas berkeliaran.

“Saya sudah menternak lembu secara kecil-kecilan selama 20 tahun, ini merupakan kejadian kecurian pertama berlaku. Saya sedih dan kecewa tapi apakan daya selain redha dengan ujian ini.

“Laporan polis sudah dibuat pada hari sama, walaupun sedar ianya sukar namun saya harap lembu-lembu ini dapat ditemui semula,” katanya.