KPDNHEP beri amaran kepada peniaga android box

Peniaga diberi amaran agar tidak menjual android box yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran.
Peniaga diberi amaran agar tidak menjual android box yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan amaran kepada semua peniaga agar tidak menjual alat peranti teknologi penstriman (android box) yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran.

Tegas Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam, kementerian akan melakukan tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan bagi membendung pelanggaran hak cipta.

"KPDNHEP amat memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang terlibat dalam menawarkan penjualan alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran secara fizikal atau digital," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak industri.

"Bagi tempoh 2018 hingga September lalu, KPDNHEP telah berjaya membanteras pengedaran cetak rompak secara fizikal dengan menghasilkan 531 kes dianggarkan nilai rampasan RM5.4 juta," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan secara maya merupakan antara tindakan berkesan dalam menyekat penyebaran cetak rompak secara digital di dalam medium internet.

"Antara tindakan diambil adalah melakukan sekatan laman sesawang dan penurunan kandungan," katanya.

Azman berkata, tindakan tersebut merupakan kaedah yang paling pantas dan berkesan dalam melumpuhkan aktiviti penularan cetak rompak digital dengan kerjasama SKMM melalui penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dan pihak industri atau pemilik hak cipta.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tempoh sama, KPDNHEP telah berjaya melaksanakan sekatan terhadap 2,252 laman sesawang dan 2,391 kandungan diturunkan," katanya.

Ujarnya, mana-mana individu atau peniaga yang menjual peranti itu akan dikenakan tindakan tegas di bawah seksyen 43AA, Akta Hak Cipta 1987.

"Jika disabitkan kesalahan, denda RM10,000 sehingga RM 200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan," katanya.

Tegasnya lagi, peruntukan itu turut terpakai kepada pemilik premis perniagaan atau pengurusan bangunan yang menyediakan atau menyewakan premis mereka kepada individu atau peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan android box kerana bersubahat dan bekerjasama dengan peniaga terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh terus menyalurkan aduan lengkap kepada kementerian melalui saluran WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 serta emel menerusi e-aduan@kpdnhep.gov.my," katanya.

Sabtu lalu, KPDNHEP merampas 600 unit android box pelbagai jenama berserta dokumen berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta dengan nilai RM404,500.

Rampasan itu dibuat menerusi serbuan di sebuah premis di Skudai, Johor.