Sindiket android box haram digempur

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan penjualan kandungan penstriman haram menerusi serbuan di sebuah premis perniagaan di Puchong pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota JSJK itu berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun.

Menurutnya, wanita itu dipercayai menjual android box yang didapati mengandungi salinan langganan Astro secara haram.

"Operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak Astro itu bertindak merampas enam unit android box yang tidak mempunyai perakuan SIRIM, wang tunai RM500 dan resit pembelian.

"Siasatan mendapati sindiket membuat penjualan android box secara terus kepada pembeli di premis perniagaan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, salinan siaran Astro hanya akan dimuat turun ke dalam peranti yang dijual apabila terdapat permintaan daripada pelanggan.

Katanya, sindiket akan mengenakan bayaran RM468 bagi setiap peranti yang dijual kepada pelanggan.

"Ditegaskan, penjualan dan pembelian kandungan penstriman haram merupakan satu kesalahan. Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang urus niaga berkaitan perkara ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987.