[VIDEO] Beri amaran pemaju selesai isu kegusaran penduduk

Ab Rauf (dua dari kanan) meninjau kawasan cerun bukit yang berlaku tanah runtuh di Taman Muzaffar Syah di sini, pada Selasa.
Ab Rauf (dua dari kanan) meninjau kawasan cerun bukit yang berlaku tanah runtuh di Taman Muzaffar Syah di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri memberi amaran tegas kepada pemaju projek komersial pembinaan rumah kedai di Taman Muzaffar Syah supaya mementingkan keselesaan dan keselamatan penduduk taman itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, langkah itu penting supaya pergerakan tanah tidak berterusan berlaku hingga memberi impak buruk kepada penduduk.

Menurut beliau, pemaju diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menyelesaikan isu berbangkit seperti masalah keretakan yang dialami penduduk dan sekiranya tiada situasi menang-menang tidak mustahil arahan menangguhkan projek itu akan dikeluarkan.

Kata beliau, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan membuat pemantauan setiap hari bagi memastikan projek berkenaan tidak berterusan menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk.

Ab Rauf (tiga,kiri) ketika membuat pertemuan bersama wakil penduduk, pemaju dan agensi berkaitan di di Taman Muzaffar Syah di sini, pada Selasa.
Ab Rauf (tiga,kiri) ketika membuat pertemuan bersama wakil penduduk, pemaju dan agensi berkaitan di di Taman Muzaffar Syah di sini, pada Selasa.

"Kita tidak mahu esok bila berlaku permasalahan yang lebih besar kita tidak bersedia menghadapi permasalahan tersebut.

"Kita akan pantau permasalahan ini secara harian, saya beritahu kepada pemaju bahawa masalah ini mesti diberikan perhatian pihak berkuasa supaya langkah keselamatan diambil daripada awal," katanya.

Ab Rauf berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan di kawasan cerun di Taman Muzaffar Syah di sini, pada Selasa.

Beliau turut memberi jaminan masalah yang menghantui penduduk sejak hampir setahun lalu dapat diselesaikan secara tuntas oleh pemaju dan pihak berkaitan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kira-kira 300 penduduk di Jalan Sri Raya empat dan tujuh Taman Ayer Keroh Height di sini, terus dihantui kebimbangan setelah projek pembinaan rumah kedai berdekatan kediaman mereka menimbulkan pelbagai isu termasuk ancaman tanah runtuh.

Penduduk Abdul Rashid Ailp, 52, berkata, mereka telah banyak bertoleransi dengan pihak pemaju sejak setahun projek itu bermula, namun malangnya pihak berkenaan tidak mementingkan kebajikan penduduk.