Trek tepi Sungai Kelantan perlu diperindah

Taman kecil yang kotor di tepi trek pejalan kaki di Tambatan Diraja Kota Bharu.
Taman kecil yang kotor di tepi trek pejalan kaki di Tambatan Diraja Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Trek riadah pejalan kaki di tepi Sungai Kelantan di Tambatan Diraja di sini perlu diperindahkan bagi keselesaan pengguna.

Seorang pengunjung, Muhd Khairul Hafiz Rosdi, 29, berkata, lokasi tersebut cantik dan sesuai untuk orang ramai berekreasi, namun tidak dijaga dengan baik.

“Di tepi-tepi trek dan taman kecil di sini bersemak, jadi ia tidak selesa digunakan terutama mereka yang mempunyai anak kecil.

“Rugi sebab tempat memang elok dan perlu dijaga supaya tidak rosak serta terus dapat dimanfaatkan pengguna,” katanya ketika ditemui di trek berkenaan di sini pada Ahad.

Bahagian tepi trek yang ditumbuhi semak samun menjadikan lokasi riadah ini kurang selesa untuk dikunjungi.
Bahagian tepi trek yang ditumbuhi semak samun menjadikan lokasi riadah ini kurang selesa untuk dikunjungi.

Seorang pekerja swasta, Amin, 40, berkata, sepanjang empat tahun bekerja di sebuah premis berhampiran trek tersebut, beberapa kali terserempak dengan haiwan berbisa seperti ular.

“Akibat semak samun dan lalang menyebabkan kawasan ini menjadi habitat ular selain digunakan gelandangan atau penagih dadah untuk tidur.

“Tidak selamat untuk digunakan oleh orang ramai sedangkan di sini sepatutnya menjadi lokasi tarikan pelancongan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Laluan pejalan kaki di tepi Sungai Kelantan di Tambatan Diraja perlu diperindah untuk keselesaan pengunjung. Gambar kecil: (kiri) Muhd Syakir Danial dan Rosnazli
Laluan pejalan kaki di tepi Sungai Kelantan di Tambatan Diraja perlu diperindah untuk keselesaan pengunjung. Gambar kecil: (kiri) Muhd Syakir Danial dan Rosnazli

Seorang lagi pengguna, Muhd Syakir Danial Che Abdul Aziz, 21, pula berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera untuk mencantikkan kawasan itu supaya tidak berlaku kerosakan yang lebih teruk.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, pihaknya sedia maklum perkara itu dan melakukan kerjasama dengan jabatan lain bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Lokasi tersebut juga termasuk antara Projek Pengindahan Bandar Kota Bharu bernilai RM48 juta di bawah Jabatan Landskap Negara yang akan dilaksanakan tahun hadapan.

“Ada yang beri cadangan untuk kami tebang pokok di kawasan itu tetapi perkara itu tidak boleh dilakukan kerana perlu kekalkan kelestarian dan kehijauan,” katanya kepada Sinar Harian.