Khairul Hafiz tekad perbaiki catatan masa

Pelari pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz ketika beraksi pada acara 100m lelaki Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Mei lalu.
Pelari pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz ketika beraksi pada acara 100m lelaki Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Mei lalu.
A
A
A

PELARI pecut negara Khairul Hafiz Jantan kini mahu memberi tumpuan dan meningkatkan prestasi seterusnya layak beraksi pada saingan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China September ini selepas pulih sepenuhnya daripada dibelenggu kecederaan berpanjangan.

Pelari berusia 24 tahun dan diberi gelaran Speedy Jantan itu tekad untuk memperbaiki catatan masa dalam acara 100 meter (m) dan 4x100m pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, bulan depan.

"Perancangan kita untuk fokus pada kejohanan itu kerana untuk layak sekarang ini perlu dapat mata terbaik, selain kuartet yang meraih gangsa pada Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini juga akan disertai Muhd Azeem Fahmi yang dijangka pulang dari Amerika Syarikat untuk bantu pasukan negara.

"Kemungkinan beliau (Azeem) akan diberi tugas pelari terakhir dan saya sebagai pelari pertama dalam kuartet itu tetapi kita akan lihat nanti perancangan jurulatih, namun yang penting bagi kami ialah memperbaiki catatan masa 39.36 saat (s) ketika Sukan SEA baru-baru ini," katanya.

Kuartet 4x100m lelaki negara yang diwakili Khairul Hafiz bersama rakannya Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa dan Muhammad Haiqal Hanafi meraih pingat gangsa pada temasya itu.

Mengulas lanjut, Khairul Hafiz yang pernah mencipta kegemilangan merangkul pingat emas dan dinobatkan sebagai raja pecut Asia Tenggara dalam acara 100m lelaki ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu menyifatkan usianya kini masih muda selain belum terlambat untuk beliau mengejar dan berusaha mengembalikan semula prestasi terbaiknya.

Katanya, yang kini baharu setahun lebih di bawah kendalian jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, peluang beraksi pada Sukan SEA 2023 seolah-olah memberi nafas baharu baginya untuk kembali beraksi dalam acara 100m selain mencatat masa 10.36s dalam saringan.

"Alhamdulillah kini saya kembali setelah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan menumpukan sepenuh perhatian dengan latihan yang sebelum ini juga banyak terjejas ketika pandemik melanda.

"Dalam masa setahun ini saya perlu cuba tingkatkan prestasi jika ada rezeki dan boleh mengejar masa terbaik untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris dan dapat balik catatan masa di bawah 10.10 saat atau 10.20 saat kerana untuk pergi ke Olimpik kita perlu dapatkan mata bukan sekadar laju," katanya.

Rekod terbaik Khairul Hafiz yang pernah dimilikinya ialah menerusi catatan 10.18s ketika memecahkan rekod kebangsaan pada Sukma Sarawak 2016.

Catatan masa itu berjaya mengatasi rekod 18 tahun yang dipegang bekas pelari pecut negara Watson Nyambek. - Bernama