61 pejalan kaki 'degil' kena kompaun

Operasi Tindakan Khas Jejantas sekitar Jalan Tun Tan Cheng Lock pada Khamis.
Operasi Tindakan Khas Jejantas sekitar Jalan Tun Tan Cheng Lock pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejalan kaki yang melintas jalan utama tanpa menggunakan jejantas sedia ada boleh dikompaun di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menerusi Operasi Tindakan Khas Jejantas sekitar Jalan Tun Tan Cheng Lock pada Khamis, seramai 61 individu telah di kompaun Pasukan Warden Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL berkata, tindakan tidak mematuhi peraturan lalu lintas itu boleh mengundang risiko kemalangan dan kecederaan fizikal hingga menyebabkan kematian.

"Menerusi tindakan penguatkuasaan operasi jejantas kali ini, sejumlah 61 orang individu terdiri daripada warganegara tempatan dan asing telah ditahan dan dikenakan notis kompaun serta-merta.

"Tindakan penguatkuasaan dibuat melalui peruntukan undang-undang dibawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Katanya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.

Ujarnya, sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.